KUCHING: Kepulangan Kuching City FC (KCFC) ke Stadium Taha Ariffin (STA) selepas beraksi dalam sembilan perlawanan berturut-turut di tempat lawan disifatkan sebagai suntikan motivasi selepas The Cats menewaskan Sabah FC 4-1 dalam aksi persahabatan, malam tadi.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak, berkata, sokongan penyokong serta keadaan STA yang melalui kerja penaiktarafan memberi dorongan tambahan kepada pemain.

Namun dalam masa yang sama, beliau menegaskan lebih berpuas hati dengan peningkatan prestasi pasukan berbanding keputusan besar yang dicatatkan.
“Memang bagus dapat kembali selepas lapan hingga sembilan minggu beraksi di luar dengan sembilan perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

“Seronok melihat penyokong kembali dan keadaan stadium juga jauh lebih baik.
Ini memberikan motivasi kepada pemain untuk terus berusaha.

“Walaupun keputusan 4-1 bagus, saya lebih berpuas hati dengan prestasi pasukan berbanding keputusan itu sendiri,” katanya ditemui wartawan selepas perlawanan, malam tadi.
Menurutnya, KCFC menunjukkan peningkatan dari segi penguasaan bola, kombinasi permainan dan kematangan berbanding beberapa perlawanan terdahulu.
“Banyak perkara positif yang kita dapat lihat.
Kita mengawal bola dengan baik dan saya lihat pasukan lebih matang berbanding enam atau tujuh perlawanan terakhir apabila kita banyak kehilangan bola dan penguasaan.
“Sepanjang tempoh rehat, kita banyak berlatih dan berbincang mengenai perkara yang perlu diperbaiki.
Jadi, aksi ini adalah petanda yang baik, tetapi kita tidak boleh berhenti di sini kerana ujian sebenar adalah dalam Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup,” katanya.
Aidil berkata, beliau turut menggunakan perlawanan itu untuk menilai kombinasi beberapa pemain, termasuk Mujagic dan Jerome Mpacko Etame yang diturunkan bersama di bahagian serangan.
“Hari ini saya cuba Mujagic dan Jerome bermain berdua di hadapan kerana mereka tidak pernah bermain bersama sejak setahun lalu. Kita dapat lihat kombinasi itu sudah ada, tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Kita juga tidak sepatutnya melepaskan gol seperti itu. Apabila kehilangan bola, kita hilang tumpuan dan sebab itu kita dibolosi. Ini antara perkara yang perlu kita perbaiki,” katanya.
Dalam aksi persahabatan itu, KCFC membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi Ajdin Mujagic selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Sabah di dalam kotak penalti.
Dylan Wenzel-Halls kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-30 selepas menerima hantaran hasil larian pantas Safawi Rashid sebelum melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru gawang.
Tiga minit kemudian, Ramadhan Saifullah Usman menjadikan kedudukan 3-0 selepas menerima hantaran jauh Shitembi dan menyudahkan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah.
Sabah merapatkan jurang menerusi Gonzalo Ignacio De Renzo pada minit ke-45 sebelum Mujagic melengkapkan kemenangan KCFC dengan gol keduanya pada minit ke-53 menerusi tandukan hasil hantaran lintang Safawi Rasid.
Perlawanan itu turut dijadikan sesi percubaan bagi menguji prosedur baharu stadium, termasuk pengurusan tempat duduk, kemasukan dan pergerakan penonton sebelum KCFC kembali beraksi dalam saingan antarabangsa.
Ia selepas stadium berkenaan melalui kerja penaiktarafan bagi memenuhi keperluan penganjuran perlawanan di peringkat antarabangsa, termasuk pemasangan tempat duduk baharu dan penambahbaikan kemudahan penonton.
KCFC kini mengalihkan fokus kepada tiga perlawanan penting di laman sendiri, bermula dengan aksi sulung Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup menentang Tampines Rovers FC pada 7 Oktober.
Ini diikuti dengan perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA menentang Kelantan City FC pada 10 Oktober, sebelum menerima kunjungan Kitchee SC dalam saingan Liga Juara-Juara ASIA Dua pada 15 Oktober.





