Teruna berani buka perniagaan syarikat bukan bumiputera

Trending

Aidilfitri di Kota London

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

YUSUF Mustanir dilahirkan pada 17 Disember 1957. Beliau menerima ijazah pertama dari Universiti Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor dan meneruskan pengajian sarjana dalam Pentadbiran Pendidikan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Karya beliau disiarkan di Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, akhbar Utusan Borneo, Suara Sarawak, The New Sarawak Tribune, Mingguan Malaysia, Berita Harian (Ahad) dan The New Straits Times. Beliau pernah bertugas sebagai Guru, Pengetua Sekolah Menengah dan Pegawai Pendidikan.

TAKBIR RAYA bergema perlahan, tetapi menambat sukma. Air mata jatuh ke pipi perlahan dan seterusnya deras.

Usaha tetap dilakukan.

Bahkan dirancangkan beberapa hari menjelang Aidilfitri agak tidak setitik air mata gugur menjelang pagi pertama Syawal.

Latihan demi latihan dilakukan agar tidak tumpah setitik air mata pilu menjelang pagi Syawal dan apabila takbir raya sulung membelah angkasa.

Usaha tersebut terbukti gagal.

Sebaliknya, perasaan pilu terlepas daripada kawalan diri. Ribuan batu berjauhan daripada sanak-saudara sesuatu keadaan yang sukar didepani.

Lebih-lebih lagi, semua Aidilfitri sebelum ini dan semenjak lahir dihayati dan dialami bersama-sama keluarga.

Tercetus seribu satu sesalan di kamar kalbu kerana memilih menyambut Aidilfitri di perantauan.

Tindakan sejauh itu dilakukan atas desakan untuk mencipta sejarah berhari raya di perantauan tanpa terfikir bahawa dia baru melangkah ke dunia pernikahan dengan gadis pilihan hatinya di tanah air.

Beberapa bulan menjelang Aidilfitri sebelum tibanya musim luruh di kota London, dia mengambil keputusan berkahwin dengan Marianne, gadis kacukan Irish, Melayu, Bidayuh dan Cina yang seiras artis tanah air Sofia Jane.

Hasrat di kalbunya memang ingin membawa Marianne yang dinikahinya itu ke Kota London.

Keinginan itu terbantut kerana isterinya mendapat tempat melanjutkan pengajian sarjana di universiti tempatan.

Dia pula berada di tahun akhir mengejar Phd di Universiti Cambridge di bandar Cambridge yang letaknya tidak jauh dari kota London.

Jika menyambut Aidilfitri di perantauan, dia tidak memilih berhari raya di kota Cambridge.

JADI PILIHAN

Sebaliknya, dia mengikat rancangan berhari raya di Kota London. Malaysia Hall London menjadi pilihannya.

Lazimnya, kebanyakan daripada warga Malaysia, khususnya dalam kalangan pelajar Malaysia di seluruh England lebih gemar berhimpun di Malaysia Hall, London untuk menyambut Aidilfitri dan apa sahaja perayaan termasuk Hari Kebangsaan.

Apabila berhimpun di Malaysia Hall, London, kerinduan terhadap kampung halaman terubat.

Menyambut mana-mana perayaan termasuk Aidilfitri di Malaysia Hall London seolah-olah berada di tanah air.

Hakikatnya, segala sajian seperti sate, rendang, ketupat, lemang dan apa sahaja makanan Malaysia menjelang Aidilfitri akan terhidang di Malaysia Hall London pascasolat sunat Aidilfitri.

Begitu juga dengan laksa Sarawak mahupun kek lapis Sarawak turut tersaji.

Lagu raya turut berkumandangan di Malaysia Hall London sehingga tidak terasa berada jauh daripada sanak-saudara di tanah air.

Selain dalam kalangan pelajar, warga Malaysia pelbagai kaum dan agama yang berada di London tidak melepaskan peluang menjamu selera di Malaysia Hall London.

Suasana itu yang dia hajati sebelum kembali ke tanah air. Inilah peluang terbaik dia merasai Aidilfitri di perantauan untuk kali pertama dan mungkin terakhir.

Jika dia tidak merebut peluang ini, belum tentu dia dapat menikmati pengalaman berhari raya di perantauan, khususnya di Malaysia Hall London yang sering meniti di bibir mereka yang pernah mengalaminya.

Tahun-tahun sebelum ini, dia hanya berhari raya di tanah air dengan menempah tiket penerbangan lebih awal.

Walaupun dia mengikuti kursus mahupun seminar di mana-mana tempat di luar Sarawak mahupun di luar Kuching, dia tetap pulang ke Kuching untuk berhari raya.

Belum pernah dia berjauhan dengan keluarga menjelang Aidilfitri.

Lebih-lebih lagi dia menjadi tulang belakang ibunya setelah arwah ayahnya meninggal dunia ketika dia baru melangkah ke Tingkatan Satu.

Baca lain  Nurkilan Fiana Winata

Dia menjadi sandaran ibunya sebagai anak sulung dalam adik-beradik yang ramai.

Disebabkan terpaksa membantu ibunya membesarkan adik-adiknya yang masih kecil, dia terpaksa menangguh impiannya untuk melanjutkan pengajian ke menara gadingdan bernikah.

Dia hanya melangkah kaki ke universiti apabila sebahagian daripada adik-adiknya mampu berdikari.

Apabila berpeluang melangkah kaki ke universiti, dia tidak melakukannya sekerat jalan.

Dia meletakkan tekad terus ke peringkat Phd.

Namun, di peringkat ijazah pertama dan sarjana, dia berjanji kepada ibunya bahawa pada setiap Aidilfitri, dia menyambutnya bersama-sama keluarga.

Oleh itu, tidak sekalipun dia menyambut Aidilfitri berjauhan dengan keluarga.

Dia sentiasa menyambut Aidilfitri di samping adik-adik dan ibunya. Itu kesepakatan yang dia ikat dengan ibunya.

Segar di ruang fikirnya menjelang Aidilfitri di tanah air, dia yang akan dipertanggungjawabkan oleh ibunya untuk membeli pelbagai barang keperluan menyambut Aidilfitri.

Di Pasar Raya Ting & Ting, dia membeli daging lembu yang diimport dari Australia dan beberapa keperluan dapur yang lain.

Memang Pasar Raya Ting & Ting menjadi tempat membeli barangan dapur semenjak arwah ayahnya masih ada.

Pasar Raya Ting & Ting merupakan pasar raya pertama di bandar raya Kuching sebelum wujudnya rangkaian pasar raya lain di Kuching.

Kini Pasar Raya Ting & Ting sudah tidak berurus niaga lagi kerana sudah wujud pelbagai rangkaian pasar raya yang lebih canggih di seluruh bandar raya Kuching.

Sehari menjelang Aidilfitri di Kuching, dia juga ditugaskan oleh ibunya membeli kari segar di Kedai Kari Hajah Sehat yang letaknya berhampiran Masjid Bahagian Kuching yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Besar Sarawak.

TUMPUAN

Peranan Masjid Besar Sarawak yang juga dikenali sebagai Masjid Negeri Sarawak sebagai tumpuan umat Islam di sekitar bandar raya Kuching menunaikan solat sunat Aidilfitri kini semakin berkurangan.

Ini disebabkan peranan utamanya sudah diambil alih oleh Masjid Jamek yang letaknya di Petra Jaya.

Selain itu, kebanyakan daripada surau di sekitar bandar raya Kuching dinaik taraf menjadi masjid.

Walaupun terdapat Masjid Jamek dan banyak masjid lain di bandar raya Kuching termasuk Masjid India atau Masjid Terapung yang letaknya berhampiran Masjid Bahagian Kuching, namun dia lebih gemar menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Bahagian Kuching kerana di sudut kanan masjid itu letak pusara arwah ayahnya.

Selepas solat Aidilfitri dan solat Jumaat, dia singgah bersedekah surah al-Fatihah di pusara arwah ayahnya dan seluruh anggota keluarganya yang meninggal dunia disemadikan di pekarangan Masjid Bahagian Kuching.

“Tidak berhari raya di Kuching?” Marianne terasa hampa.

“Ingin merasai Aidilfitri di kota London.

Lagipun ini tahun akhir!”

Dia memaklumkan gadis yang baru dinikahinya menjelang musim luruh yang lalu.

“Maaf zahir dan batin!” ucap isterinya dan perbualan telefon mereka terus terputus.

Banyak kali dia cuba menghubungi semula isterinya.

Tidak berjaya.

Dia tidak menyerah kalah.

Dia cuba dan terus mencuba menghubungi isterinya, tetap gagal.

Seribu satu sesalan menyerang jiwanya.

Dia sepatutnya berhari raya bersama-sama isterinya di Kuching atau membawa isterinya berhari raya di kota London.

Lagipun mereka baru bernikah.

Biarlah mereka bersama-sama menikmati Aidilfitri pertama setelah menjadi suami isteri.

Gema takbir Aidilfitri semakin mengusik jiwanya.

Petang semalam, dalam perjalanan dari bandar Cambridge, dia banyak kali berusaha lagi menelefon isterinya di tanah air, tetapi tidak berjawab.

Begitu juga adik-beradiknya serta ibunya.

Mereka semua gagal dihubungi.

Di Facebook, tiada status terkini keluarganya di Kuching.

Media yang sering mereka berhubung, iaitu WhatsApp juga senyap sepi.

Ucapan Aidilfitri yang dicatatnya tiada tindak balas dari seluruh anggota keluarganya.

Timbul kerisauan di hatinya.

Keterujaannya hendak menyambut Aidilfitri di kota London surut di kalbu.

Sebelum ini, bukan main tinggi semangatnya hendak berhari raya di kota London, khususnya di Malaysia Hall London bersama-sama warga Malaysia yang berada di London.

Baca lain  NUKILAN SOLIHIN OSMAN

Tetapi, keinginan itu kini bertukar menjadi kerisauan apabila isteri dan anggota keluarganya di Kuching gagal dihubungi.

Apa ertinya menyambut Aidilfitri di kota London jika hatinya dijarah kerisauan.

Lebih-lebih lagi isterinya Marianne yang baru dinikahinya.

“Kalau begini keadaannya, biarlah aku pulang ke Kuching.

Aku tidak mahu menyambut Aidilfitri di kota London!” dia berbisik sendrian di kamar tidur singgahnya di Malaysia Hall London. 

Jejarinya mulai menyentuh skrin telefon pintarnya untuk menyemak kalau ada penerbangan terkini dari Heathrow ke KLIA.

Berombak-ombak dadanya menyemak penerbangan dari setiap syarikat penerbangan yang bakal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow ke KLIA dan seterusnya ke Kuching.

Terbeliak matanya. Harga tiket penerbangan melebihi RM10,000. Jika dia menurut emosinya, dia boleh membeli tiket tersebut dan kembali ke tanah air. Tetapi, simpanan kewangannya akan berkurangan dan sedikit sebanyak mengganggu kos sara hidupnya sepanjang tempoh pengajiannya di Cambridge.

KAWAL EMOSI

Lagipun, pada musim luruh yang lalu, dia kembali ke tanah air untuk menikahi Marianne.

Selain itu, apa ertinya kembali ke tanah air jika sudah masuk hari kedua raya.

Dia harus mengawal emosi.

Pendirian?

Bukankah dia membulatkan tekad untuk menyambut Aidilfitri di kota London?

Air matanya setitik demi setitik menyerang pipinya.

“Eh belum bersiap lagi untuk solat sunat Aidilfitri?”

Lamunannya lenyap apabila dikejutkan oleh Rambli, yang muncul di bilik persinggahannya di Malaysia Hall.

Dia terus bangkit dari kamar tidurnya ke bilik air.

Dia tidak mahu Rambli rakan sekuliahnya di Cambridge yang berasal dari Kedah nampak kerisauan yang menjarahnya.

Biarlah kepiluan itu dialami sendiri. Di bilik air, semakin deras air matanya jatuh.

Dia benar-benar gagal mengawal perasaan pilunya memikirkan isterinya yang berhari raya untuk kali pertama selepas pernikahan mereka pada musim luruh yang lalu.

“Aku sepatutnya membawa dia berhari raya di kota London ini?” dia menjerit di kamar mandi.

Nasib baik pada waktu itu Rambli tidak lagi berada di biliknya.

Rambli mengambil keputusan menunggunya di lobi Malaysia Hall. Mereka akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di 45-46 Belgrave Square, London.

Nota itu Rambli letakkan di biliknya kerana tidak mahu mengganggunya di kamar mandi.

Apabila keluar dari kamar mandi, baru dia teringat akan Rambli. Tentu Rambli terdengar jeritannya di kamar mandi.

Dia tersipu-sipu. Tetapi, Rambli sudah tidak berada di bilik, di atas kamar tidurnya, dia ternampak sekeping nota.

Lega hatinya apabila Rambli menulis dalam nota itu, yang dia menunggu di lobi.

Dia memakai baju Melayu hijau muda yang dikirimkan oleh isterinya dari Kuching menjelang Aidilfitri.

Sekali lagi perasaan pilu memintas kalbunya.

Terpancar wajah isterinya yang seiras Sofia Jane itu.

Dalam perjalanan ke lobi, dia sekali lagi cuba menelefon isterinya.

Telefon pintar isterinya gagal dihubungi.

Sebaliknya panggilannya dihantar ke peti suara.

Seluruh anggota keluarganya di Kuching juga gagal dihubungi.

Tiada pesanan mahupun ucapan Aidilfitri dari anggota keluarganya di Kuching.

Lebih-lebih lagi daripada isterinya.

Banyak kali sudah dia menghantar ucapan Aidilfitri, khusus kepada isterinya.

Sepatutnya pada pagi Aidilfitri pertama setelah pernikahannya, dia berbual dengan isterinya menerusi pangilan video.

“Cepat, kita sudah terlambat,” Rambli menyapanya apabila dia muncul di pintu lif.

Takbir Aidilfitri semakin bergema apabila mereka melangkah pekarangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di 45-46 Belgrave Square.

Semakin pilu kalbunya.

Ruang solat sudah dipenuhi oleh dalam kalangan kakitangan Suruhanjaya Tinggi, pelajar dan rakyat Malaysia yang beragama Islam di kota London.

Masing-masing berlumba- umba melaungkan takbir Aidilfitri.

Gugur lagi air matanya.

Dia benar-benar gagal menahan perasaan pilu yang menjarah kalbunya. Wajah isterinya terpancar lagi di ruang fikirnya.

Baca lain  Tri Astoto Kodarie

SALAM AIDILFITRI

Alangkah manis mahupun indahnya kalau isterinya turut berada di sampingnya berhari raya di kota London.

“Kenapa Marianne tidak mengucapkan salam Aidilfitri atau menghubungi aku?

Merajukkah dia?”

Pelbagai soalan mula bermain di fikirannya. Semakin bertali arus gema takbir Aidilfitri.

Semakin pilu hatinya. Dia tersedar apabila diumumkan solat sunat Aidilfitri hendak dimulakan.

Dikesatnya air mata yang gugur membasahi pipinya.

Dia berusaha sedaya upaya memfokus perhatian kepada solat sunat Aidilfitri.

Situasi pilu yang didepaninya itu suatu dugaan Allah kepadanya.

Itu yang disalurkannya ke dalam mindanya.

Dia teguhkan imannya dengan segala kekuatan diri.

Dia berjaya memfokuskan perhatian kepada solat sunat Aidilfitri.

Selesai solat sunat Aidilfitri, perhatiannya difokuskan kepada khubah Aidilfitri.

Begitu juga dengan jemaah yang di sekelilingnya.

Mereka menumpukan perhatian kepada khubah Aidilfitri.

Selepas itu, mereka bersalaman. Kemudian, mereka disaji dengan pelbagai juadah Aidilfitri di Suruhanjaya Tinggi.

Ketupat, lemang, rendang dan sate, semuanya tersaji untuk dinikmati.

Pada masa yang sama, mereka bersalam-salaman.

Situasi kekitaan dan kemesraan di pagi Aidilfitri di kota London itu, melupakan ingatan yang sebelum ini membara terhadap isterinya di tanah air.

Dia mengukir senyum pada setiap individu yang dia jabat erat sambil mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin yang berada di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada ketika itu.

Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Suruhanjaya Tinggi itu, dia dan Rambli bergerak semula ke Malaysia Hall London.

Sejurus melangkah keluar dari pekarangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, terpancar semula wajah isterinya di ruang fikir.

Wajah cerianya dengan sekelip mata berubah pilu.

“Teringat Marianne di Kuchingkah?” Rambli mengusik rakan sekuliahnya di Cambridge.

“Teringat juga,” jawabnya jujur sambil mengesat air mata yang mulai gugur setitik di pipinya.

“Kalau begitu, ayuh kita segera bergerak ke Malaysia Hall untuk menikmati sajian di sana dan sekurang-kurangnya boleh mengubat kerinduan terhadap tanah air,” Rambli memujuknya.

“Oh ya, mana sahabatkau Aisyah yang berasal dari Pakistan itu?”

“Kebetulan dia uzur dan tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dia sudah bergerak ke Malaysia Hall,” jawab Rambli.

“Patutlah kau segera hendak ke Malaysia Hall!”

Dia cuba mengukir senyum walaupun dadanya berombak-ombak untuk menentang kepiluan yang menjarahnya.

Aidilfitri di kota London yang sebelum ini amat dia nantinantikan sudah tidak bermakna kepadanya.

Pengalaman menyambut Aidilfitri yang diharapnya untuk diluahkan dan seterusnya dikongsikannya dengan rakan-rakan di Facebook dalam bentuk cerpen tentu berjiwa sedih.

Sebaliknya, dia berhajat berkongsi detik manis berhari raya di kota London dengan rakan-rakannya di Facebook di seluruh dunia.

Tetapi, hasrat itu tidak menepati sasarannya.

“Alhamduliah kita dah sampai pun.

Yusman cuba kaulihat siapa yang berdiri di pintu utama Malaysia Hall itu?”

Rambli mengejutkannya daripada lamunan.

“Marianne Sayang?”

Di hadapannya berdiri isterinya yang berpakaian baju kurung sedondon dengannya, hijau muda.

Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin.

Maafkan Marianne kerana sengaja membuat kejutan kepadamu!”

Marianne mencium tangannya.

Menjelang Aidilfitri, Marianne memberitahu seluruh keluarganya di Kuching supaya mematikan telefon pintar masing-masing.

Jika menghidupkan telefon pintar, dia melarang mereka menerima panggilan daripada suaminya.

Begitu juga di Facebook, tiada sebarang penampilan terkini sehingga Marianne sampai untuk berhari raya bersama-sama suaminya di kota London.

Seluruh anggota keluarga di Kuching merestui mereka suami isteri menyambut Aidilfitri di kota London.

Sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada subuh menjelang Aidilfitri, Marianne menghubungi Rambli yang pernah hadir sebagai pengapit pada majlis pernikahannya.

Setelah menerima berita Marianne akan tiba di London menjelang subuh Aidilfitri, dia mohon sahabatnya Aisyah menyambut Marianne di Heathrow.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

PUISI UNTUK EMAK

AINI NAZRINILenggengNegeri Sembilan Emak… kau wanita hebat dalam hidupku dari

Mimpi lelaki penyendiri

KaryaDE EKA PUTRAKHABUKITTINGGI, SUMATERA BARAT. “Bermimpilah terus hingga kau tak

DIALAH GURU

Jais Sahok Dialah guru berselimut jiwa insani pengasih  prihatin tanpa

Puisi Aidilfitri

KOPI RINDU PAGI SYAWAL Takbir kemenangan menyusuk pilu kalbu manis

E-Paper

28 Mei 2023

Berita Terbaru