KUCHING: Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 FilmBiz World merupakan satu platform untuk pakar industri perfileman berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelbagai topik akan diberi tumpuan untuk dibincangkan menerusi acara berikut.
“Topik menarik termasuk “Pembiayaan untuk Pasaran Filem ASEAN”, “Memacu Pertumbuhan Perniagaan” dan “Inovasi dalam Industri Filem”, adalah tiga daripada banyak perbincangan perniagaan yang dirancang di AIFFA BIZ-WORLD ini.
“Ini dilihat sebagai satu komitmen yang dilakukan dalam memastikan industri kreatif seumpama ini diperkasa termasuk perniagaan filem,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibaca Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan pada AIFFA 2023 FilmBiz World di Old Court House, di sini, hari ini.
Sementara, Kolektif Filem Sarawak bersama-sama Malindo Film Fund (MFF) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membuka ruang pelaburan pembuatan filem antara Malaysia dengan Indonesia.
“Kita gembira kerana pemain industri di negeri ini mengambil langkah proaktif dalam membangunkan industri kreatif dan seni di Sarawak.
“Saya berbesar hati menyaksikan acara ini yang dijangka dapat mencapai objektif bersama-sama dalam bidang seni kreatif ini,” katanya.
