ARTIKEL

AIM catat sejarah Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penyanyi muda kelahiran Sri Aman, Mawat, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang sulung kategori Lagu Borneo Terbaik menerusi lagu Dayang Bintang pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), sekali gus membawa nama Sarawak ke pentas anugerah muzik berprestij negara yang julung-julung kali berlangsung di Kuching.

Kemenangan Mawat menjadi antara detik penting AIM25 selepas kategori Lagu Borneo Terbaik diperkenalkan buat pertama kali pada edisi ke-25, sekali gus memberikan pengiktirafan khusus kepada karya yang mengangkat identiti, bahasa dan muzik Borneo.

Dayang Bintang, ciptaan Maxwel Franklin Saran yang turut menulis lirik lagu tersebut, mengatasi empat finalis lain untuk muncul sebagai karya pertama yang memenangi kategori berkenaan.

Lebih membanggakan, Mawat yang baru berusia 24 tahun dan berasal dari Sri Aman, Sarawak, kini menetap di Kuching.

Kemenangan itu sekali gus memberikan makna besar kepada perkembangan bakat tempatan serta muzik Borneo.

Walaupun hanya membawa pulang satu trofi, kemenangan tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila nama Mawat direkodkan sebagai artis pertama yang menerima trofi Lagu Borneo Terbaik dalam sejarah AIM.

Bagi Mawat, kemenangan sebagai penerima pertama anugerah Lagu Borneo Terbaik bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada lembaran baharu muzik Borneo apabila karya anak tempatan diberikan ruang dan pengiktirafan di pentas utama industri muzik Malaysia.

Dalam pada itu, AIM25 menyaksikan Mimifly muncul sebagai penerima trofi terbanyak dengan lima kemenangan, diikuti Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan empat trofi, manakala Aisha Retno membawa pulang tiga trofi.

Mimifly mencatat lima kemenangan menerusi kategori Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik bagi Temberang, selain Lagu Perayaan Terbaik serta Anugerah Dalam Talian – Lagu dengan Hasilan Tertinggi di TikTok menerusi Serumpun, dan Susunan Muzik Terbaik dalam Lagu menerusi Nara.

Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumpul empat trofi menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik bagi Kesuma, Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik bagi Cenderamaya, Lagu Tradisional Terbaik serta Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.

Aisha Retno pula mencatat tiga kemenangan, termasuk Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik menerusi (Re.Hab), serta Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T.

Marsha Milan turut mencuri perhatian dengan dua kemenangan menerusi Lagu Etnik Terbaik bagi Pelangi Pasti dan Kulit Single/Album Terbaik bagi Misopuru.

Bagi kategori lain, Alpha memenangi Artis Baru Terbaik menerusi Mona Lisa (Bang Bang), manakala Arddley Nicholas membawa pulang Vokal Lelaki Terbaik menerusi Sandiwara Cinta.

Inteam pula memenangi Vokal Kumpulan Terbaik menerusi Satukan Kami di Syurga, manakala Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama-sama Amir Masdi memenangi Kugiran Terbaik menerusi Mahkota.

Hael Husaini dan Nadeera memenangi Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi Peluk, manakala Hazama membawa pulang Runut Bunyi Terbaik dalam Filem atau Drama menerusi Aku Bukan Narsisis daripada Dia Bukan Syurga.

Faizal Tahir pula memenangi Lagu Rock Terbaik menerusi Bila Sampai Waktu, manakala Yonnyboii dan Malique membawa pulang Lagu Rap/Hip Hop Terbaik menerusi Tanya Tuhan.

Bagi kategori bahasa dan genre lain, Yise Loo memenangi Lagu Cina Tempatan Terbaik menerusi Love Yourself, manakala Buggimaan bersama-sama Sri Vithya memenangi Lagu India Tempatan Terbaik menerusi Kadhal War. Halim Ahmad pula memenangi Lagu Nasyid Terbaik menerusi Fitnah Akhir Zaman.

Amir Jahari meraih Lagu Etnik Terbaik menerusi Pelangi Pasti yang dinyanyikan oleh Marsha Milan, manakala Mc Syze dan Noh Salleh memenangi Lagu Perpaduan Terbaik menerusi Matahari Malaya.

Selain itu, Aubrey Suwito dan Datuk Habsah Hassan mencatat kemenangan menerusi Pesanan Buat Diri bagi kategori Lagu Tradisional Terbaik, manakala lagu yang sama turut dinobatkan sebagai Lagu Terbaik.

Bagi kategori pra-anugerah, Marsha Milan memenangi Kulit Single/Album Terbaik menerusi Misopuru, manakala Mimifly memenangi Susunan Muzik Terbaik dalam Lagu menerusi Nara serta Lagu Perayaan Terbaik menerusi Serumpun.

Aisha Retno turut memenangi Rakaman Album Terbaik menerusi (Re.Hab), manakala Akim & The Majistret memenangi Rakaman Lagu Terbaik menerusi Gasoline.

Naim Daniel bersama-sama Adnin Roslan pula memenangi Anugerah Dalam Talian – Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi Seni Berdamai dengan Takdir, manakala Hael Husaini dan Iqie Hugh meraih Anugerah Dalam Talian – Video Muzik Rasmi Malaysia dengan Tontonan Tertinggi di Pelantar Video Utama menerusi Meriah Lain Macam.

Malam kemuncak AIM25 turut menyaksikan Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri muzik tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, persaingan untuk menembusi kelompok lima terbaik bukan sesuatu yang mudah kerana setiap karya melalui persaingan sengit.

“Untuk masuk lima terbaik pun sudah mencabar, jadi lagu yang memenangi kategori ini mestilah sesuatu yang istimewa,” katanya pada sidang media selepas majlis anugerah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), baru-baru ini.

Katanya, pengiraan markah dilakukan oleh juruaudit bebas, manakala jurang markah antara finalis kekal sebagai maklumat sulit.

Sementara itu, Ketua Juri AIM25, Mohd Faisal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai, berkata panel juri menilai setiap penyertaan secara terperinci dan bukan hanya memberikan tumpuan kepada kemampuan vokal penyanyi atau tarikan sesebuah lagu.

Bagi kategori Album Terbaik yang dimenangi Aisha Retno menerusi (Re.Hab), katanya, penilaian dibuat secara menyeluruh merangkumi keseluruhan album, termasuk lagu, rakaman, adunan dan pemasteran.

AIM25 yang berlangsung di BCCK turut mencatat sejarah sebagai edisi pertama yang dianjurkan di Sarawak, selain memperkenalkan kategori baharu, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU

Jerebu: 45 kawasan catat IPU sederhana

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di 45 kawasan seluruh negara berada pada tahap sederhana berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pagi ini. Menurut portal Sistem Pengurusan