ARTIKEL

Ajai (dua dari kiri) dan Rosmin (tiga dari kiri) bersama tetamu lain pada acara karpet merah AIM25. Foto: Jurugambar rasmi acara

AIM25: Lagu pop perlu ‘luar biasa’ untuk bergelar juara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bukan sekadar sedap didengar, lagu yang mahu bergelar juara Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) perlu memiliki keistimewaan tersendiri apabila kategori itu mencatat jumlah penyertaan tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, sengitnya persaingan menyaksikan usaha menembusi kelompok lima terbaik juga bukan sesuatu yang mudah.

Rosmin (kiri) dan Ajai (kanan) ketika ditemui pemberita. Foto: Haziq Anwar

“Untuk masuk lima terbaik pun sudah mencabar, jadi lagu yang memenangi kategori ini mestilah sesuatu yang istimewa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis anugerah itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Ketua Juri AIM25, Mohd Faisal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai, berkata panel juri menilai setiap penyertaan secara terperinci dan bukan hanya melihat kepada kemampuan vokal penyanyi atau tarikan sesebuah lagu.

Bagi kategori Album Terbaik yang dimenangi album RE.HAB nyanyian Aisha Retno, katanya penilaian turut dibuat secara menyeluruh merangkumi keseluruhan album, termasuk lagu, rakaman, adunan dan pemasteran.

Ajai berkata, berjaya mara ke peringkat lima terbaik juga sudah menjadi satu pencapaian, mengambil kira jumlah penyertaan yang bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir.

Rosmin berkata, pengiraan markah dilakukan oleh juruaudit bebas, manakala jurang markah antara finalis kekal sebagai maklumat sulit.

Edisi ke-25 AIM itu turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya dianjurkan di Kuching, selain memperkenalkan beberapa kategori baharu seperti Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.

Rosmin berkata, beliau berpuas hati dengan penganjuran edisi di Sarawak itu meskipun program berlangsung agak panjang dan dipercayai antara majlis anugerah paling lama dalam sejarah AIM.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan AIM dianjurkan di Sabah pada masa akan datang, namun berkata keputusan berkenaan bergantung kepada sokongan yang diperlukan untuk menjayakan acara berskala besar seperti AIM.

“Menganjurkan majlis anugerah besar seperti AIM memerlukan kos yang tinggi; jadi, jika kita mendapat sokongan daripada kerajaan Sabah, mungkin kita boleh menganjurkannya di sana,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan,