LIMBANG: Kemudahan air tangki memudahkan urusan harian lebih 60 penduduk Kampung Bulantak.
Kemudahan itu sekali gus dapat menyelesaikan masalah mereka yang selama ini terpaksa menggunakan air tangki takungan kecil bagi keperluan harian.
Ketua Kampung Bulantak Abdul Aji Ali berkata, kemudahan air itu sudah lama dinanti-nantikan kerana penggunaan air tangki takungan kecil selama ini menyebabkan kerap berlakunya putus bekalan air.
Malah beliau mendakwa penduduk kampung terpaksa turun ke pasar membeli air mineral sendiri kerana tiadanya sumber air lain.
“Jarak kampung Bulantak yang jauh dengan bandar dengan tiadanya pengangkutan darat adalah satu kepayahan buat penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air mineral,” katanya semasa ditemui di program mengayau makan buah di Kampung Bulantak baru-baru ini.
Hadir sama Wali Kota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat dan Ketua Pemuda Zon PDM Sk Pahlawan Hikmal Fariatin Mohd Ali Sufi.
Namun demikian, menurut Abdul Aji semenjak adanya tangki pada penghujung tahun lalu, penduduk kampung tidak pernah lagi keputusan bekalan air.
Menurutnya, penduduk setempat tidak lagi khuatir berlakunya putus bekalan air walaupun pada musim kemarau.
“Bekalan air untuk penduduk setempat mencukupi walaupun hujan tidak turun selama berminggu-minggu.
“Penduduk setempat boleh menggunakan air tersebut untuk kegunaan harian seperti masak, mencuci baju dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khususnya Ketua Menteri Atas keperihatinannya kepada masyarakat Kampung Bulantak.
Tambahnya, selain bekalan air bersih kawasan tersebut juga bakal menerima kemudahan asas lain seperti elektrik dan jaringan jalan raya tidak lama lagi.