DARO: AirBorneo bakal melebarkan sayap ke rantau Asia Timur termasuk Pulau Jeju, Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha Sarawak memperluas jaringan penerbangan serta merancakkan sektor pelancongan dan sosioekonomi negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jaringan penerbangan yang lebih luas mampu membawa masuk lebih ramai pelancong memandangkan Sarawak turut mempunyai Taman Geo Delta yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah meminta pesawat kita terbang ke Pulau Jeju di Korea Selatan yang diiktiraf sebagai Taman Geo UNESCO.
“Jadi, apabila kita sudah mempunyai pesawat sendiri iaitu AirBorneo, lebih ramai pelancong boleh datang dan ekonomi kita juga akan mendapat manfaat.
“Insya-Allah, pesawat kita akan terbang ke Jakarta, rantau ASEAN dan juga Asia Timur. Kita tidak perlu lagi menumpang penerbangan lain kerana kita sudah mempunyai pesawat sendiri,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Daro di sini, hari ini.
Beliau berkata, AirBorneo turut menjadi platform penting untuk mengetengahkan identiti dan produk tempatan Sarawak kepada penumpang menerusi sajian serta produk keluaran negeri.
“Kita bakal menyediakan nasi dabai dalam pesawat. Air minuman pun kita gunakan produk Sarawak, Orkid. Semua ini kita mahu pamerkan kepada penumpang.
“Selain itu, peningkatan kemasukan pelancong melalui jaringan penerbangan ini turut dijangka mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu di bandar utama.
“Sebagai contoh, pelancong datang ke Kuching, kemudian mereka boleh pergi ke Daro untuk mencari telur terubuk. Bermakna, perniagaan akan bertambah dengan kehadiran pelancong,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu bertepatan dengan matlamat utama penubuhan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak tersebut yang membuka ruang untuk mengurus sendiri strategi pengoperasian termasuk dari sudut tambang, destinasi dan pengalaman penumpang.
Untuk rekod, AirBorneo dijadual memulakan operasi komersial secara rasmi menerusi penerbangan sulung laluan Kuching-Kuala Lumpur pada 20 Julai ini, diikuti laluan ke Singapura pada 27 Julai.
Syarikat penerbangan itu menerima pesawat Boeing 737-800 pertamanya pada 16 Julai lalu sebagai persediaan akhir menjelang operasi penerbangan komersial, yang mempunyai konfigurasi 162 tempat duduk merangkumi 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi.
Selain itu, harga tiket bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur diumumkan bermula RM375 sehala bagi kelas ekonomi dan RM736 sehala bagi kelas perniagaan, termasuk cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.



