ARTIKEL

Airbus sedang kenal pasti kerjasama dengan syarikat Malaysia dalam inisiatif kemampanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pengeluar pesawat, Airbus sedang mengenal pasti kerjasama baharu di Malaysia dalam usaha ke arah penyahkarbonan sektor aeroangkasa dalam pendekatan merentas sektor.

Presiden Airbus Asia Pasifik Anand Stanley berkata kemampanan telah menjadi faktor penting bagi syarikat penerbangan di seluruh dunia apabila membuat keputusan berhubung kumpulan pesawat mereka, merujuk kepada peralihan Malaysia Airlines dan AirAsia kepada kumpulan A330 neo, A320 neo dan A321 neo.

“Memperbaharui kumpulan pesawat dengan pesawat generasi terkini dapat mengurangkan dengan segera penggunaan bahan api dan pelepasan kira-kira 25 peratus.

“Fasa seterusnya ialah meningkatkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan akhirnya penggunaan sumber tenaga rendah baharu seperti hidrogen,” katanya pada meja bulat media di sini semalam.

Stanley berkata Airbus bersedia untuk menunjukkan pesawat A220 generasi terkininya, dijana oleh campuran SAF sebanyak 10 peratus dari Kuching ke Langkawi, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

SAF dihasilkan daripada sumber seperti minyak masak terpakai, sampah perbandaran atau biojisim yang tidak bersaing dengan rantaian makanan dan dihasilkan tanpa impak negatif terhadap alam sekitar.

Bahan api itu dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (Co2) sehingga 80 peratus mengikut asas kitaran hayat, menjadikannya komponen utama dalam usaha industri penerbangan untuk mengurangkan jejak karbonnya.

Stanley berkata pesawat yang dikeluarkan oleh Airbus mampu melakukan penerbangan dengan sehingga 50 peratus SAF dan sasarannya ialah meningkatkannya kepada 100 peratus menjelang 2030.

Oleh itu, katanya bagi syarikat penerbangan memanfaatkannya sepenuhnya, sistem perindustrian yang berdaya maju perlu diwujudkan untuk menghasilkan dan mengkomersialkan sumber tenaga ini.

Mengenai permintaan terhadap pesawat di Asia Tenggara, beliau berkata jumlahnya semakin meningkat dan hampir pulih kepada paras sebelum pandemik, merujuk kepada model pesawat kecil dan satu lorong yang kekal sebagai pilihan dalam kalangan syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau ini.

Beliau berkata Malaysia kekal sebagai pasaran utama Airbus dan ketiga terbesar di Asia selepas China dan India.

Ia juga merupakan pangkalan pembekal pengeluar terbesar di Asia Tenggara, dengan 14 syarikat tempatan, menghasilkan struktur, komponen dan alat ganti untuk rangkaian lengkap pesawat awam dan pesawat pengangkutan tentera A400M.

“Baru-baru ini, Airbus mengemukakan cadangan untuk membekalkan empat helikopter pelbagai guna H175 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menyokong operasi keselamatan maritim,” katanya.

H175 sesuai untuk mencari dan menyelamat, penguatkuasaan undang-undang, memadam kebakaran, keselamatan sempadan, rondaan maritim, perkhidmatan perubatan kecemasan, utiliti dan misi luar pesisir. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Didik anak-anak untuk elak gangguan seksual, rogol

KUCHING: Agensi kerajaan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama dalam memberi didikan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat kepada kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kesedaran akan