Ajar anak patuhi SOP, amalan penjarakan sosial

KUCHING: Kerjasama padu pengasuh dan ibu bapa di taska amat penting bagi memastikan tahap pematuhan kanak-kanak terhadap SOP dapat dipatuhi dan tidak menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembukaan taska pada 9 Jun ini menekankan SOP yang ditetapkan.

“Sebagai orang dewasa, kita seharusnya tidak boleh memandang rendah dengan kemampuan kanak-kanak apatah lagi dalam tempoh sukar ini sebab mereka banyak belajar daripada apa yang berlaku di sekeliling.

“Kita melihat kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun, apabila kita bercakap mengenai Covid-19, mereka faham sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Penyampaian Geran Tahunan (GTK) di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jelasnya lagi, kanak-kanak juga sentiasa melakukan pemerhatian dengan apa-apa yang berlaku di sekeliling dan mereka belajar daripada pemerhatian tersebut.

“Kita perlu menyedari bahawa peranan guru khasnya di pusat asuhan kanak-kanak ini, perlu diambil kira kerana kanak-kanak ini kadangkala lebih patuh dengan guru berbanding ibu bapa.

“Kita perlu memberi tumpuan penuh kepada para guru ini. Guru perlu dididik terlebih dahulu bagaimana untuk mengurus pelajar dengan mengamalkan penjarakan sosial, tidak bersentuhan di antara satu sama lain atau berkumpul,” ujarnya lagi.

Katanya, tiada pelawat dibenarkan masuk ke kawasan taska dan kanak-kanak tidak diwajibkan menggunakan pelitup mulut dan hidung kecuali pengasuh mahupun pihak pengendali.

Katanya, kebenaran untuk membenarkan operasi taska dibuka semula berdasarkan pemantauan menyeluruh termasuk guru dan operasi tidak melebihi jumlah yang dibenarkan sebelum ini iaitu tidak lebih 10 orang di setiap pusat.

“Perkara ini telah kita ambil kira semasa kita memberi lisan pematuhan pusat asuhan ini, jumlah pelajar yang dibenarkan tidak terlalu sesak mengikut standard kapasiti premis bangunan sedia ada,” katanya.