Akad nikah atas talian wajib tepati syarat nikah

KUCHING: Akad nikah dalam talian sah sekiranya ia menepati syarat-syarat sah nikah secara 100 peratus. Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Setar, Kedah Ahmad Faisol Omar berkata, beliau cenderung untuk menyatakan bahawa akad nikah secara dalam talian itu sah.

“Sekiranya syarat tersebut kurang walaupun sebanyak dua peratus, akad itu tidak dianggap sah,” ujarnya dalam perkongsian video berdurasi 5:05 minit melalui Facebook Masjid Sharifah Fatimah pada 18 April lalu.

Tambahnya, akad nikah dalam talian itu bermaksud kedua-dua pihak iaitu wali dan pengantin lelaki berada di tempat yang berasingan contohnya, wali berada di Kedah pengantin lelaki berada di Selangor.

“Jadi adakah boleh atau tidak mereka melakukan akad nikah menggunakan panggilan video? Jawapannya boleh. “Yang pertama, dari segi syarat sah nikah dan syarat tambahan semasa akad nikah dalam talian wali hendaklah melafazkan ijab didengari oleh pengantin lelaki.

Kalau tidak didengari pengantin lelaki, jawabnya nikah itu tidak sah. “Demikian juga lafaz dengan kabul yang dilafazkan oleh pengantin lelaki ia perlu didengari oleh wali atau wakilnya dengan jelas untuk menjadikan ia sah.

“Selain itu, saksi bagi perkahwinan pula hendaklah mendengar lafaz ijab daripada wali dan juga mendengar lafaz kabul daripada pengantin lelaki atau wakilnya. “Juga disyaratkan dua orang saksi di samping mendengar hendaklah melihat wali yang melafazkan ijab termasuk melihat lafaz kabul daripada penganti lelaki,” jelasnya.

Beliau berkata, kedudukan saksi mestilah berada di tempat wali melafazkan ijab dan bukan berada di tempat pengantin lelaki yang melafazkan kabul.

“Satu lagi bagi lafaz ijab dan kabul ini, sebaik sahaja wali melafazkan ijab maka pengantin lelaki perlu segera melafazkan kabul. “Sekiranya pengantin lelaki mengambil masa yang lama walaupun nampak pertuturan dalam panggilan video itu maka tidak sah kerana ia mesti dilafazkan dengan segera.

“Jika tengah berlangsung tiba-tiba padam atau terputus, maka ia terbatal dan perlu diulang semula,” tegasnya.

Kesimpulannya, beliau memberitahu bahawa akad nikah dalam talian tidak digalakkan melainkan ketika kesulitan seperti tempoh Perintah Kawaan Pegerakan atau dalam keadaan darurat. 

“Dalam keadaan biasa elok guna kaedah biasa dan penting leaki datang duduk bersama-sama daam maljis dengan wali,” katanya.