ARTIKEL

Akademi GMP nadi bola sepak di Betong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

USAHA menyediakan barisan pemain pelapis berbakat perlu bermula di peringkat akar umbi.

Langkah itu penting kerana ia menjadi penyumbang utama di peringkat teras kepada pembangunan sukan bola sepak di sesebuah kawasan.

Justeru, penubuhan Akademi Bola Sepak GMP Betong ketika ini secara tidak langsung mampu memainkan peranan ke arah melahirkan pemain berbakat, khususnya untuk Bahagian Betong.

Badan induk yang ditubuh pada September 2023 itu mempunyai 90 pelatih berumur tujuh hingga 12 tahun, kata Ketua Program, Mohd Zaidol Mohd.

Zaidol memaklumkam, fokus utama akademi terbabit adalah untuk melahirkan pemain pelapis yang terbaik.

“Kami tahu akademi ini masih baharu, namun besar harapan untuk melihat ada pemain dari akademi ini berjaya sebagai seorang pemain bola sepak suatu hari kelak,” ujar Zaidol kepada Arena Suara Sarawak.

Menurutnya, perkembangan positif dapat disaksikan sejak akademi itu ditubuhkan.

“Ia jelas memperlihatkan bahawa ibu bapa sesungguhnya mahu melihat anak mereka memperolah kejayaan dalam sukan bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidol menjelaskan, rata-rata pemain yang menyertai akademi berkenaan datangnya dari Bahagian Betong.

Latihan dijalankan dua kali seminggu, iaitu pada Sabtu dan Ahad, jelasnya.

“Namun tertakluk kepada sebarang perubahan masa. Andainya terdapat program melibatkan mereka (Akademi Bola Sepak GMP Betong), jadual latihan juga mungkin berubah,” katanya lagi.

Zaidol memaklumkan pihaknya sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke akademi berkenaan untuk menimba ilmu bola sepak.

Ibu bapa yang ingin anak mereka menyertai Akademi Bola Sepak GMP Betong boleh berhubung terus dengan Zaidol di talian 019-8385609.

Zaidol, yang juga bekas pemain skuad Sarawak suatu ketika dahulu, sesungguhnya mahu melihat pelatih dari akademi berkenaan berjaya menjadi pemain bola sepak yang baik suatu hari kelak, seterusnya mengangkat Bahagian Betong sebagai pengeluar pemain bola sepak berbakat di peringkat akar umbi.

Akademi Bola Sepak GMP Betong itu, jelasnya, dikendalikan olehnya sendiri serta beberapa jurulatih lain, antaranya Nor Shahrul Hassan, Abang Joharizwan, Iswandy Sidek selain jurulatih berpengalaman luas, Awang Jobli Awang Bidin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini, ketika ditemui, menyuarakan rasa bangga dengan penubuhan Akademi Bola Sepak GMP Betong.

Menurutnya, kewujudan akademi tersebut dapat merancakkan lagi program pembangunan sukan bola sepak di bahagian berkenaan.

“Syabas kepada jawatankuasa Akademi Bola Sepak GMP Betong atas usaha komprehensif yang dilaksanakan selama ini.

“Saya percaya akademi tersebut akan menjadi medan melahirkan pemain pelapis berbakat,” ujarnya.

Baru-baru ini, pelatih Akademi Bola Sepak GMP Betong turut serta dalam program Siri Jelajah Klinik Bola Sepak Rentap dan Pencarian Bakat 2024, iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak.

Menurut Abang Suhordie, BDFA berterima kasih kepada NFDP Sarawak kerana memilih Bahagian Betong sebagai lokasi bagi menjayakan program Siri Jelajah Klinik Bola Sepak Rentap dan Pencarian Bakat 2024.

Jelasnya, program tiga hari pada 23 hingga 25 Februari lalu di Kompleks Sukan Betong, selain dijayakan bersama pelatih NFDP Sarawak, turut disertai 40 pelatih dari Akademi Bola Sepak GMP Betong.

“Ini kali pertama program seumpama ini dilaksanakan di Bahagian Betong.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak NFDP Sarawak atas komitmen mereka,” ujarnya mengenai perkara itu.

Jelasnya, penganjuran program bagi peringkat umur dari tujuh hingga 12 tahun itu jelas memperlihatkan objektif NFDP Sarawak dan BDFA berada pada landasan yang sama, iaitu pencarian bakat baharu.

“Dengan kata lain, ia langkah tepat dalam mengenal pasti pemain pelapis di peringkat akar umbi.

“Ini perancangan BDFA untuk mengetengahkan bakat pemain muda pada peringkat umur berkenaan hingga ke tahap lebih membanggakan,” tambahnya.

Kerjasama pihaknya dan NFDP Sarawak mengelolakan klinik berkenaan diharap akan menjadi batu loncatan bagi pemain kelahiran Bahagian Betong untuk diserap sebagai pelatih di NDFP Sarawak selain di Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSNS).

Katanya, klinik tiga hari itu dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman yang dibantu beberapa barisan jurulatih muda dari Bahagian Betong.

Abang Suhordie turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa pelatih terlibat.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu turut memaklumkan, BDFA akan terus memperkasakan program pembangunan seumpama itu.

Usaha ke arah itu adalah antara aktiviti yang terkandung di dalam takwim badan induk berkenaan sepanjang tahun.

BERITA LAIN

Lariwoo Vet FC pertahan gelaran juara

SEBUYAU: Kehebatan pasukan Lariwoo Vet FC nyata sukar ditandingi apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Kampung Sebangan 2024, Piala Ahli

BERITA TERBARU

Keterangkuman sosial POSKOM selari dengan PCDS 2030

SIBU: Program Outreach – Santuni Komuniti (POSKOM) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. Ahli