ARTIKEL

Akaun KWSP semua pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah distruktur semula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula 11 Mei lepas, Akaun Satu dan Akaun Dua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah distruktur semula kepada Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Daripada nisbah pengagihan caruman 70:30 bagi Akaun Satu dan Dua sebelum tarikh tersebut, caruman wajib bulanan pekerja diagihkan menurut nisbah 75:15:10.

Penstrukturan semula yang memperkenalkan Akaun Fleksibel ini secara automatik melibatkan akaun semua pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah, termasuk ahli bukan warga Malaysia, yang tidak boleh memohon untuk dikecualikan atau terus mencarum menurut struktur lama.

Walaupun demikian, pencarum ada pilihan untuk memindahkan caruman daripada Akaun Fleksibel mereka ke Akaun Persaraan atau Akaun Sejahtera jika mereka ingin berbuat demikian pada suatu masa nanti.

Untuk berbuat demikian, mereka perlu melengkapkan dan mengemukakan ‘Borang Pindahan Simpanan Ke Akaun Persaraan/Akaun Sejahtera’.

Pencarum juga ada peluang (sekali sahaja) dari 11 Mei hingga 31 Ogos 2024 untuk memindahkan jumlah awal dari Akaun Sejahtera (dahulu Akaun Dua) ke Akaun Fleksibel seandainya pencarum enggan melihat Akaun Feksibel bermula dengan baki kosong.

Jumlah yang boleh dipindahkan tertakluk kepada baki sedia ada dalam Akaun Sejahtera berdasarkan kelayakan yang boleh disemak menerusi KWSP i-akaun masing-masing.

Sementara itu, Akaun 55 dan Akaun Emas tidak berubah.

Apabila pencarum berusia 55 tahun, caruman mereka dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel akan dipindahkan ke Akaun 55.

Caruman baharu seterusnya selepas usia 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas (yang akan dikunci dan hanya dapat dikeluarkan apabila pencari berumur 60 tahun.

Semua pencarum KWSP yang layak dibenarkan untuk mengeluarkan semua baki dari Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, dengan had minimum RM50, termasuk ahli KWSP yang telah memohon awal bagi pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau 55 tahun untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ahli KWSP boleh memohon bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel menerusi i-akaun atau di mana-mana kaunter KWSP.

Permohonan pengeluaran tidak boleh dibatalkan selepas ia diluluskan.

Tiada dokumen sokongan diperlukan tetapi pencarum mesti mengemukakan nombor akaun bank yang aktif untuk memastikan proses pembayaran berjalan dengan lancar.

Pencarum juga mesti maklum bahawa bagi pengeluaran khususnya dalam talian (online), mereka perlu menjalankan proses eKYC dalam talian standard untuk mengesahkan identiti mereka bagi pengeluaran melebihi RM250.

Tiada prosedur diperlukan bagi pengeluaran yang kurang daripada RM250.

Pencarum tidak perlu pergi ke cawangan KWSP untuk membuat verifikasi atau pengesahan cap jari di kaunter, tetapi ini juga tertakluk kepada dua syarat: sejarah pengeluaran pencarum dan jumlah pengeluaran (tidak melebihi RM30,000).

Jika ahli tidak ada rekod pengeluaran sebelum ini, mereka diwajibkan untuk terlebih dahulu mengesahkan identiti mereka di terminal layan diri (SST) KWSP atau menerusi proses pengesahan identiti dalam talian.

Pengesahan identiti dalam talian boleh dibuat bagi pengeluaran jumlah yang kurang daripada RM10,000.

Verifikasi cap ibu jari di SST, yang memerlukan kehadiran secara fizikal), dibuat bagi pengeluaran jumlah melebihi RM10,000.

Wang yang dikeluarkan oleh pencarum akan dikredit terus ke dalam akaun bank mereka yang mesti aktif dan didaftar di bawah nama pencarum sendiri dan bukan akaun bersama ataupun akaun syarikat.

Pembayaran akan dibuat dalam masa tujuh hari selepas permohonan pencarum diluluskan.

Pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel mahupun penstrukturan semula akaun tidak mengubah sebarang kelayakan bagi pengeluaran pra-persaraan.

Pencarum tetap layak untuk membuat pengeluaran pra-persaraan sedia ada tertakluk kepada terma dan syarat semasa yang boleh disemak menerusi i-akaun.

Penstrukturan semula akaun tidak akan menjejaskan kadar dividen KWSP.

Buat masa sekarang, dividen bagi Akaun Fleksibel adalah sama dengan dua akaun lain.

Bagaimanapun, ini mungkin akan berubah pada masa depan kerana hakikat bahawa aset-aset cecair tidak menarik dividen atau kadar faedah yang tinggi.

Penstrukturan semula ini juga tidak akan mengubah status akaun pencarum yang telah beralih kepada Simpanan Shariah.

Bagi pencarum Muslim yang mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel, semua pengeluaran tertakluk kepada zakat pada kadar 2.5 peratus, tanpa perlu menunggu tempoh setahun haul (lengkap tempoh setahun) jika jumlah yang dikeluarkan sudah mencapai nisab (jumlah simpanan minimum yang mesti dimiliki seseorang Muslim sebelum diwajibkan membayar zakat).

Bagaimanapun, jika pengeluaran dari Akaun Fleksibel dibuat oleh seorang ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi, atau tidak dapat menampung keperluan sara hidup asas mereka (dan tanggungan mereka), maka zakat 2.5 peratus tidak diguna pakai.

Jika pencarum tidak mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel, baki simpanan dalam akaun tersebut juga tertakluk kepada zakat 2.5 peratus setiap tahun menurut haul seandainya ia sudah mencapai nisab selepas mengambil kira semua simpanan ahli yang lain.

KWSP menyatakan ia melaksanakan penstrukturan semula itu untuk membantu pencarum menabung dengan lebih berkesan bagi persaraan mereka, tetapi pada waktu yang sama memenuhi keperluan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang dalam hidup mereka.

Ia juga mengambil kira faktor seperti landskap pekerjaan yang sedang berubah, anjakan demografi sereta keperluan pencarum sekarang dan pada masa depan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan ahli-ahli supaya mereka dapat mengimbangi dengan lebih baik keperluan bagi persaraan mereka pada masa akan datang, dengan keperluan mereka yang segera,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, ketika mengumumkan secara rasmi penstrukturan semula pada 25 April lepas.

Beliau menjangkakan pengeluaran dari Akaun Fleksibel berjumlah antara RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun.

“Saya nasihatkan ahli untuk mengehadkan pengeluaran mereka dan hanya mengeluarkan wang dari Akaun Fleksibel bagi keperluan segera dan darurat sahaja,” katanya.

Pada hujung tahun lepas, KWSP sudah membayangkan bahawa ia akan melaksanakan penstrukturan semula akaun pencarum KWSP untuk membantu rakyat Malaysia menabung dengan lebih cekap bagi persaraan mereka selain menyediakan Malaysia dengan secukupnya bagi masyarakat yang semakin menua tanpa mengabaikan keperluan mereka sekarang.

BERITA LAIN

Proton terima anugerah Grand Prix ASEAN NCAP 2024

KUALA LUMPUR: PROTON telah menerima anugerah kecemerlangan industri yang paling berprestij melalui Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP 2024 sebagai pengiktirafan atas komitmen syarikat untuk memajukan keselamatan kenderaan dan

Bursa Malaysia diniagakan tidak berubah pada dagangan awal

KUALA LUMPUR: Aktiviti pengambilan untung yang sederhana mengehadkan kenaikan Bursa Malaysia pada pagi ini selepas aktiviti pembelian saham semalam.  Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.08 mata

BERITA TERBARU

Presiden Rusia tawa perdamaian bersyarat kepada Ukraine

MOSCOW, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu