SIBU: Hasrat seorang wanita untuk membuat pinjaman wang lebur setelah terjerat dengan sindiket penipuan atas talian yang melibatkan kerugian sebanyak RM48,560.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu telah tertarik dengan satu syarikat pinjaman wang di laman web Google.
“Mangsa yang merupakan seorang akauntan dari syarikat swasta ingin membuat pinjaman wang berjumlah RM20,000.
“Namun mangsa telah diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai ejen pinjaman wang bank di
laman web tersebut,” ujarnya.
Zulkipli mengatakan mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM48,560 ke dalam lima akaun bank secara 12 kali transaksi melalui perbankan internet dan CDM mulai 28 Mac 2023 kononnya untuk urusan proses pinjaman seperti dokumen perbankan, pendaftaran, yuran pemprosesan pinjaman dan pembayaran cukai bagi kelulusan segera.
Menurutnya lagi, mangsa juga dijanjikan pulangan semula wang setelah mendapat kelulusan pinjaman.
Selepas membuat kesemua pembayaran tersebut, ujar beliau mangsa masih diminta membuat beberapa lagi pembayaran bagi tujuan pengeluaran kesemua wang.
Rentetan dari permintaan itu, jelas beliau, mangsa berasa curiga dan telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa tampil membuat laporan polis pada 29 Mac 2023 (semalam),” kata beliau.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menambah, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak bank bagi memastikan kesahihan pinjaman dan orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya sekiranya pinjaman dijanjkan dengan kadar faedah rendah daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang berlesen.
Melalui pendekatan ini, ujar beliau lagi, risiko perbankan dapat dikurangkan sekaligus mengelakkan penjenayah meneruskan jenayah tersebut.
“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook@CyberCrimeAlertRMP@JsJKPDRM. Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.mp.gov.my/semakmulel,” katanya.