PELETAKAN jawatan Datuk Seri Ahmad Ismail sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dilihat dapat membuka ruang terhadap usaha mencari titik penyelesaian terhadap konflik yang melanda badan induk sukan itu.
Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof berpendapat PSM melalui Timbalan Presidennya Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan 11 ahli gabungan persatuan itu, yang sebelum ini bertindak keluar PSM setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad, perlu mencari jalan terbaik untuk memastikan pembangunan sukan tersebut tidak terjejas.
“Sekarang isu kepimpinan sudah tidak timbul, jadi saya harap 11 ahli gabungan itu dapat menilai semula tindakan mereka itu agar satu penyelesaian yang baik dapat dilaksanakan bersama PSM,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau turut menyifatkan tindakan Ahmad berundur daripada memegang tampuk kepimpinan PSM sebagai langkah berjiwa besar, wajar dan terpuji lebih-lebih lagi dengan kemelut semasa yang melanda badan sukan itu.
Ibrahim juga merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Ahmad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, dalam membangunkan sukan sepak takraw negara sejak menyandang jawatan presiden persatuan itu pada 27 Dis 2002.
….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 07 Jun 2021