ARTIKEL

Akhirnya saya tawan puncak Bukit Batu Selabat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENDAKI bukit atau gunung antara aktiviti sukan lasak yang digemari belia masa kini untuk menikmati pemandangan alam semula jadi di samping lari daripada kesibukan kerja di kota.

Trend mendaki gunung atau bukit semakin popular sejak pandemik Covid-19 melanda, lebih-lebih lagi apabila ramai yang tidak dapat keluar melancong ke luar negara.

Peluang ini diambil untuk menerokai tempat sendiri yang mempunyai keindahan alam semula jadi setaraf negara luar.

Ramai juga berpendapat, lebih baik menghirup udara segar di hutan berbanding terus berada di bandar yang terpaksa menggunakan pelitup muka setiap kali keluar rumah kerana bimbang akan penularan wabak Covid-19.

Melihat gambar yang dikongsi rakan di media sosial ketika aktiviti mendaki dan berkhemah di air terjun, telah menjentik hati saya untuk mencuba aktiviti tersebut.

Justeru pada 11 Mei lalu, salah seorang sahabat membawa saya untuk mendaki Bukit Batu Selabat di Kampung Selabat, Muara Tebas.

Kebetulan pada masa itu merupakan cuti rehat kerja, saya terus bersetuju untuk mengikutinya.

Malam sebelum mengikuti pendakian Bukit Batu Selabat yang setinggi 290 meter, saya banyak mencari maklumat
di media sosial dan Google mengenai tempat tersebut, ternyata bukit berkenaan dilihat agak mencabar bagi pendaki amatur seperti saya.

Selain itu, saya sempat membeli barang-barang untuk mendaki keesokan harinya walau sedar stamina saya mungkin tidak cukup untuk menuju puncak Baru Selabat.

Rakan saya menasihatkan supaya menggunakan kasut yang sesuai untuk mendaki, kasut yang dicadangkannya ialah ‘Adidas Kampung.’

Apakah Adidas Kampung?

Ya, ia kasut yang digunakan orang kampung untuk pergi ke kebun.

Dia juga menasihati saya untuk mengenakan pakaian yang sesuai kerana ia SOP keselamatan yang sangat penting untuk memudahkan pergerakan mendaki.

Seawal 6.30 pagi pada hari itu, saya dan enam rakan tiba di pekarangan rumah pemandu pelancong yang bakal membawa kami mendaki bukit tersebut.

Perasaan agak gemuruh kerana saya tiada membuat persiapan rapi dari segi kecergasan fizikal.

Untuk itu, saya membuat sedikit senaman ringan sebelum mendaki.

Saya juga sempat bergurau dengan rakan bahawa mungkin saya akan ‘pancit’ di tengah-tengah jalan kerana tiada stamina.

Tetapi dia sempat memberi kata-kata semangat supaya jangan putus asa selagi belum sampai di puncak.

Sebelum memulakan pendakian, kami diminta untuk mengimbas suhu badan dan

Akhirnya saya tawan puncak Bukit Batu Selabat
menulis nama selaras prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Setiap satu pendakian juga dihadkan kepada 10 orang bagi mengelak berkumpul beramai-ramai.

Pemandu pelancong yang kami gelar Abang Saini Ali memberi sedikit taklimat keselamatan dan tip sebelum mendaki.

“Pastikan semua mengambil sarapan pagi ringan sebelum mendaki.

Jangan makan makanan berminyak dan berat bagi yang boleh mengurangkan stamina.

Elakkan mengambil mi goreng atau mi kolok,” kata Saini yang sempat bergurau.

Saya bersyukur kerana sempat minum segelas kopi dan dua biji telur rebus untuk sarapan.

Saini juga menasihati orang yang pertama kali mengikuti aktiviti pendakian agar tidak terlalu memaksa diri dan mengikut rentak perjalanan kaki diri sendiri sahaja.

Biar lambat asal sampai di puncak, begitulah nasihatnya.

Kami juga disediakan tongkat kayu untuk memudahkan pendakian kerana jalan ke bukit berkenaan tidak ada yang mendatar malah berterusan mendaki.

Bukit yang terlalu curam tersebut seolah-olah seperti memanjat dinding.

Tempoh 30 minit perjalanan pertama mendaki betul-betul mencabar stamina dan fizikal saya.

Sebagai seorang yang berbadan besar yang berat lebih 90 kilogram, pendakian itu amat menyukarkan.

Semakin tinggi bukit didaki semakin terasa berat badan.

Saya sering berhenti setiap sepuluh minit perjalanan.

“Saya pasti boleh, mesti
sampai ke puncak.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,” itulah kata-kata semangat yang sering bermain di dalam kepala saya semasa mendaki bukit tersebut.

Standard perjalanan mendaki Bukit Batu Selabat ialah 45 minit yang berketinggian lebih kurang 300 meter.

Tetapi kami berenam mengambil masa dua jam untuk mendaki sahaja dan ia satu pencapaian yang luar biasa bagi kami yang tiada stamina kerana mampu sampai di puncak.

Selain daripada cabaran bukit yang curam, untuk sampai ke puncak sebenar kami juga perlu memanjat menggunakan tali untuk melalui jalan berbatu.

Perasaan gayat dengan kawasan tinggi antara cabaran yang harus diatasi dalam ekspedisi pendakian ini kerana apabila menoleh ke bawah, jantung terasa seperti ditikam dengan pisau.

Disebab itu, saya mula bimbang dan tertanya-tanya bagaimana hendak menuruni
bukit ini.

Namun begitu, setiba di puncak, ia memberi satu kepuasan apabila dapat menikmati panorama yang cukup indah.

Kami dihidangkan dengan kepulan awan yang cukup cantik di samping dapat melihat Sungai Bako yang mempunyai tarikan tersendiri.

Kecantikan kawasan itu, membuatkan saya berjaya mengatasi perasaan gayat yang teruk kerana suasana yang begitu menenangkan.

Keindahan itu, membuatkan saya terfikir sungguh cantik ciptaan Tuhan!

Ia juga memberi kesedaran bahawa kita harus menjaga alam semula jadi supaya generasi akan datang dapat menikmati keindahan yang sama seperti sekarang.

Secara keseluruhannya, mengikuti pendakian untuk kali pertama memberi semangat kepada saya untuk meneroka lebih banyak tempat menarik di seluruh Sarawak pada masa akan datang.

BERITA LAIN

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya

BERITA TERBARU

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya