ARTIKEL

Mohamad Duri bergambar kenangan bersama pasukan Tabau Legacy yang menjuarai Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah Terbuka di Rumah Panjang Ikom, Senyawan.

Aksi sengit final, Tabau Legacy muncul juara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Pasukan Tabau Legacy muncul juara Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah Terbuka yang berlangsung di Rumah Panjang Ikom, Senyawan, hari ini.

Pada aksi final, pasukan itu melalui perlawanan sengit dan mencabar sebelum menewaskan pencabar terdekatnya, Makarion FC.

Kejuaraan tersebut melayakkan Tabau Legacy membawa pulang hadiah utama berjumlah RM1,500 berserta piala dan medal.

Naib juara kejohanan, Makarion FC.

Makarion FC pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun mempamerkan persembahan konsisten, sekali gus menerima RM1,000 berserta piala dan medal sebagai naib juara.

Pasukan Hermanos FC dan Leopard’s masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat kejohanan.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 pasukan berentap dalam kejohanan anjuran Biro Sukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Ikom, Senyawan dengan kerjasama Qasa Ilham, yang berlangsung sejak Sabtu lalu.

Kejohanan itu jelas memperlihatkan semangat persaingan sihat selain mendapat sokongan padu komuniti setempat.

Mohamad dalam ucapannya menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas penganjuran kejohanan tersebut yang merupakan kali kedua diadakan tahun ini selepas edisi pertama pada Mei lalu.

“Tahniah kepada Biro Sukan JKKK Rumah Panjang Ikom, Senyawan dan Qasa Ilham kerana berjaya menghimpunkan pasukan-pasukan hebat.

“Semoga aktiviti sihat seperti ini membolehkan pemain, khususnya golongan belia, menonjolkan bakat mereka dan yang lebih penting kekal aktif bagi mengelakkan gejala tidak sihat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Rumah Panjang Ikom kini memiliki gelanggang futsal berbumbung yang dibina melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja menjadi medan bersukan, malah berfungsi sebagai lokasi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU