Aktif mainkan peranan bantu masyarakat

TATAU: Setiap ahli jawatankuasa pertubuhan harus aktif memainkan peranan membantu masyarakat setempat terutama dalam menyalurkan maklumat berkaitan agensi dan agenda kerajaan.

Ini termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan dengan penduduk yang memerlukan bantuan seperti Orang Kurang Upaya(OKU) dan warga emas yang tinggal sebatang kara.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang – Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Anak Tayai berkata melalui maklumat yang diberikan, tiada golongan seperti OKU yang akan tercicir dari mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Dalam konteks tersebut, katanya, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan Kenyalang Gold Card, yang memberi pelbagai kemudahan dan manfaat kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Beliau, yang juga ADUN Kakus berkata demikian ketika merasmikan Program Pertubuhan Kebajikan Komuniti Anap Muput di Rumah Jana anak Kijun, Muput, Tatau.

Pada majlis tersebut, John Sikie turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar(MRP) sebanyak RM10,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anap Muput, RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Jana anak Kijun dan RM29,000 kepada JKKK Rh Jana anak Kijun.

Terdahulu, Tuai Rumah Jana anak Kijun selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anap Muput berkata antara objektif pertubuhan tersebut adalah melaksanakan program dan aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan ahli ahli, menjalankan program program berunsurkan pendidikan dan menjalankan kerja kerja amal untuk ahli ahli berdaftar.

Beliau berkata antara program yang bakal dianjurkan pada 2020 adalah Program Gawai, Program Gotong Royong , Saringan kesihatan dan pelbagai program lain.

Pertubuhan Kebajikan Anap Muput didaftarkan awal 2018 dan setakat ini mempunyai keahlian lebih 100 orang.

Kira kira 300 orang penduduk dari kawasan sekitar Anap Muput dan turut dihadiri oleh SAO Long Jok, Penolong Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Pemancha Gerosen anak Jubin dan Penghulu Micheal Agul, Penghulu Lubun, Penghulu Alister dan Tuai Tuai Rumah dari kawasan Anap dan Muput.

Turut diadakan juga sumbangan untuk warga emas dan OKU serta Insentif Pelajar Cemerlang.

Suara Sarawak