Aktiviti Sukan Dibenarkan Semasa PKPB bermula hari ini

KUCHING: Semua aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan, sama ada terbuka atau tertutup dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun kesemua aktiviti itu perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi tanpa kehadiran penonton.

“Penganjuran kejohanan dan pertandingan adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBBS) dan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), tanpa kehadiran penonton atau penyokong dengan pematuhan kepada SOP sukan dan rekreasi.

“Selain itu, kebenaran beroperasi dan menggunakan fasiliti sukan oleh orang awam adalah terhad dengan surat sokongan daripada KBBS atau JPBN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi aktiviti sukan dan rekreasi yang dilarang semasa PKPB, Abdul Karim memberitahu ia termasuk aktiviti penganjuran kejohanan dan pertandingan dengan kehadiran penyokong atau penonton.

“Aktiviti tanpa kebenaran daripada KBBS atau JPBN tidak dibenarkan.

“Kedua, aktiviti massa yang melibatkan penyertaan dengan jumlah yang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride Marathon dan Triathlon adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai perkara itu boleh merujuk laman sesawang rasmi JPBN atau KBBS.

Suara Sarawak