Aku tak balik dah, aku mahu pergi bawah tanah – Wilson Banggau

JOHOR BAHRU: “Aku tak balik dah, aku mahu pergi bawah tanah….”. Itulah kata-kata terakhir Wilson Banggau, yang maut dalam insiden letupan di sebuah kilang memproses produk kelapa sawit di Tanjung Langsat, di Pasir Gudang dekat sini, dua hari lepas.
Sepupu mendiang Suzy Micheal Liu berkata mangsa yang berusia 45 tahun itu sempat meninggalkan pesanan kepadanya sebelum pergi ke tempat kerja pada hari kejadian.
“Memang terkejut sangat, saya ingat dia (Wilson) bergurau dengan kami sepupu yang tinggal di sini, bahawa dia mahu masuk tanah. Saya tidak sangka itu adalah petanda dia mahu pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Taman Megah Ria di sini hari ini.
Menurut Suzy, Wilson yang mesra dipanggil ‘Didi’ dalam kalangan keluarga dan sahabat juga sempat menghantar video di tempat kerja kepada sepupu mereka sebelum memulakan kerja pada hari kejadian.
Bagaimanapun, mereka tidak menyangka video tersebut adalah video terakhir yang dikirim Wilson dan menganggap berita mengenai kejadian menimpa mendiang daripada Mohd Syafiq Mohd Rahman, salah seorang mangsa, juga adalah sekadar gurauan.
Dalam kejadian petang Sabtu itu, Wilson dipercayai terjatuh daripada tangki setinggi 15 meter akibat letupan itu manakala dua lagi mangsa yang juga anak kepada teman wanitanya Mohd Syafiq, 23, patah pinggang dan kaki dan rakannya Bonsi Buli, 42, turut cedera.
“Hubungan Mohd Syafiq dengan mendiang memang rapat kerana ibu Mohd Syafiq, Suriati Abdullah, 53, bakal berkahwin dengan Wilson bulan ini. Wilson dan Suriati memang sudah merancang untuk berkahwin dan mahu pulang ke kampung halaman di Kampung Kluh Kemintin, Sri Aman, Sarawak, bagi meminta restu orang tua dan berkahwin,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi sepupu mendiang, Selomah Balit berkata Wilson mempunyai pengalaman luas dalam bidang kerja sebagai jurukimpal lebih 10 tahun.
“Di sini, Didi tinggal dengan ibu saudaranya, Perak Nilah, 57. Mendiang adalah anak sulung daripada tiga beradik serta anak lelaki tunggal yang peramah dan berkeperibadian baik juga disenangi saudara serta kawan.
“Bapanya di kampung juga sudah tahu berita menimpa Didi. Dia sangat terkejut dan dukacita dengan berita ini. Pada malam sebelum kejadian dia ada berjumpa dengan sepupu dan kawan dan tidak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya yang memaklumkan jenazah mendiang akan dibawa pulang ke kampung untuk disemadikan.
Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat memberikan sumbangan boleh menghubungi bapa mangsa iaitu Banggau Anak Ngilah di talian 010-5935388 atau ke akaun CIMB bernombor 7033726777.