Al-Quran dalam bahasa Melanau cipta sejarah

MUKAH: Umat Islam berbangsa Melanau beruntung serta mencipta sejarah baharu apabila Jabatan Perdana Menteri berjaya mengeluarkan buku Terjemah Al-Quran dalam bahasa Melanau Mukah.

Penterjemahan juzuk 1 hingga 3 al-Quran ke bahasa Melanau berpandukan Terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ketiga-tiga juzuk ini diterjemahkan oleh Besiri Keri, Ustaz Norazman Abdullah dan Muhammad Khairi Zulkifli Abdul Rahman yang diperakui Panel Penterjemahan Al-Quran Majlis Islam Sarawak (Bahasa Melanau).

Penterjemahan ini disaksikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim serta diperakui dan disahkan Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yasin.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dipetik dalam Sekapur Sirih buku ini menyatakan, penerbitan terjemahan itu selaras dengan matlamat mengukuhkan kefahaman masyarakat Melanau beragama Islam terhadap al-Quran.

“Di samping menambah kefahaman, terjemahan ini diharapkan mampu meningkatkan penghayatan dan amalan masyarakat ini terhadap tuntutan serta saranan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Terjemahan ini diharapkan mendapat sambutan baik masyarakat yang sentiasa cinta akan ilmu untuk dijadikan rujukan utama memperluaskan pengetahuan mendekati masyarakat Melanau,” katanya.

Buku terjemahan al-Quran dalam bahasa Melanau Mukah diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak, dengan keizinan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di bawah kawalan Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri.