Alami pendarahan otak dan mata, bayi setahun lima bulan disyaki didera

KANOWIT: Polis Kanowit mengesyaki seorang bayi lelaki berusia 1 tahun lima bulan didera selepas dirujuk ke Hospital Sibu dari Hospital Kanowit bagu mendapatkan rawatan lanjut setelah mengalami pendarahan otak dan matanya akibat terjatuh.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan tersebut akibat terjatuh ketika memanjat tingkap rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong sebentar tadi berkata, kejadian disedari pada 18 Februari lalu oleh Hospital Sibu setelah kenyataan ibu mangsa bercanggah dengan keadaan sebenar yang berlaku ke atas bayi tersebut.

Menurut beliau lagi, Hospital Sibu menerima mangsa dari Hospital Kanowit dengan tujuan untuk pengimbasan otak kanak-kanak tersebut pada 18 Februari lalu.

“Mangsa kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu dan telah menjalani pembedahan otak.

“Pemeriksaan menunjukkan ada pendarahan di bahagian otak dan matanya bermungkinan disebabkan daripada goncangan atau deraan,” ujarnya.

Tega berkata, pihak hospital membuat laporan polis kerana daripada hasil pemeriksaan menunjukkan ada pendarahan pada mata dan otak mangsa yang serius yang tidak konsisten dengan kenyataan ibu mangsa sebelum ini.

Mengulas lanjut Tega berkata, hasil temu bual dengan ibu mangsa yang berusia 28 tahun, dia mendakwa anaknya didapati tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh semasa memanjat kayu tingkap di rumah ketika mereka membeli barang keperluan di pasar.

KEADAAN rumah mangsa yang daif dan tempat dimana mangsa dikatakan terjatuh.

Selepas itu, ujar Tega, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kanowit oleh ibu bapa mangsa untuk rawatan dengan menunggang motosikal pada hari kejadian.

“Selain menemu bual ibu mangsa, kami juga turut menemu bual datuk mangsa yang memberitahu bahawa ketika kejadian dia sedang memberi ayam makan manakala nenek mangsa ada di dalam rumah.

“Datuk mangsa juga memberitahu bahawa dia ada terdengar bunyi benda jatuh dan terus masuk ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan separuh sedar.

“Sementara nenek mangsa dikatakan terus memangku mangsa sementara menunggu bantuan tiba,” kata Tega.

Dalam pada itu, beliau memberitahu rumah kediaman keluarga mangsa tiada bekalan elektrik dan air bersih.

“Keadaan rumah teramat daif dengan keadaan lantai tempat mangsa jatuh tidak rata dan terdapat lantai yang agak tinggi di dalam rumah tersebut.

“Rumah berkenaam juga didiami tujuh orang dan ibu mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu.

“Ibu mangsa merupakan ibu tunggal sebelum ini sebelum berkahwin baharu dan kedua-dua suami isteri tidak mempunyai kerja tetap,” katanya.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga laporan perubatan selesai.