Alemao bintang baharu Kuching City FC

KEHADIRAN import dari Brazil, Aylton Alemao, 32, akan mengukuhkan barisan pertahanan Kuching City FC bagi menghadapi musim 2021.
Pemain tinggi lampai (6 kaki 1 inci) itu merupakan jawapan terbaik bagi KCFC yang amat memerlukan pemain pertahanan baharu.
Bekas pemain Kelantan United itu akan menerajui bahagian pertahanan tengah.
Menurut penolong jurulatih, Ideris Untong, Alemao merupakan pemain import keempat mereka, selepas Yuta Suzuki (tengah), Leo Alves (penyerang) dan Hudson Dias (penyerang)
“Alves, Dias dan Alemao masih berada di Brazil dan dijangka tiba di Kuching pada penghujung bulan ini.
“Disebabkan kekangan penularan Covid-19, mereka mengalami kesukaran untuk memasuki negara ini,” ujar Ideris.
Yang pasti, KCFC mempunyai pemain import asing di semua posisi penting (pertahanan, tengah dan serangan).
KCFC mengekalkan sebahagian besar pemain tempatan berpengalaman musim lalu seperti Joseph Kallang Tie, Hairol Mokhtar, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandi Zekeria dan Rafiezan Razali.