
SARATOK: Datuk Ali Biju mendakwa tindakan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebagai tidak menghormati perjanjian semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).
Beliau berkata, ia menyebabkan kemarahan rakyat sehingga membawa kepada kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, pada PRN-12, beliau menyerahkan kerusi Dun Krian kepada PDP dengan harapan mereka boleh memberi laluan sama.
“PRN-12 pada hujung tahun lalu perjanjiannya saya memberi laluan kepada GPS/PDP untuk kerusi Dun Krian dengan harapan PRU-15 saya boleh bertanding tanpa ada gangguan daripada GPS, tetapi sebaliknya berlaku.
“Ini menyebabkan kemarahan rakyat terutama di Dun Krian kerana perjanjian tersebut tidak dihormati oleh GPS atau PDP,” katanya ditemui media selepas pengumuman rasmi keputusan bagi Parlimen Saratok di sini, malam ini.
Contoh paling jelas katanya di Krian, GPS memang kalah teruk dan ini menunjukkan kemarahan rakyat melekat di hati.
Faktor kemenangan lain tambah Ali, rakyat di Parlimen Saratok memilih berdasarkan keperibadian.
“Walaupun PN atau Bersatu kekurangan ahli di sini, tetapi rakyat tetap memilih calon yang mereka kenal atau biasa dengan mereka,” ujarnya.
Ketika ditanya bersedia untuk bekerjasama dengan GPS, Ali berkata, sebagai pemimpin kepada semua, ia tidak menjadi masalah demi kesejahteraan rakyat.



