SARATOK: Datuk Ali Biju melakar kemenangan lebih besar, dengan majoriti lapan kali ganda berbanding PRU-14 pada 2018 selepas memperoleh 8,826 majoriti undi menewaskan dua pencabar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Saratok Haron Mahidi, sekitar 10 malam.
Keputusan ini seterusnya membuktikan kesetiaan penyokong timbalan menteri Persekutuan itu di kawasan Saratok, sejak beliau berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu.
Beliau secara keseluruhan memperoleh 19,223 undi.
Sementara Giendam Jonathan Tait (GPS) dan Ibil Jaya Mundat (PH) masing-masing mendapat 10,397 dan 1,221 undi.
Sebanyak 376 undi ditolak.
Untuk rekod, bekas jurutera awam lulusan Valparaiso University itu memenangi kerusi Parlimen Saratok sejak 2018 pada PRU-14 dengan majoriti 989 undi mengalahkan Jagah @ Subeng Mula mewakili Barisan Nasional (BN) daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sebelum Ali, Parlimen Saratok pernah diwakili oleh Tan Sri Williams Mawan Ikom, terdahulu Jelaing Mersat (2014-2013), Datuk Seri Peter Tinggom Kamarau (1986-2004) dan Datuk Seri Edmund Langgu Saga (1971-1986).