KUCHING: Menjadi tanggungjawab Datuk Ali Biju untuk menjelaskan kepada pengundi di kawasan Krian berhubung keputusannya menarik diri pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) akan datang, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, Ali perlu memberikan sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk PRN kali ini.
“Saya harap beliau akan bekerja keras dan menjelaskan kepada penyokongnya berkaitan tindakan yang telah diambil olehnya.
“Pada masa yang sama, Ali dan penyokongnya juga perlu memberikan sokongan kepada calon GPS,” katanya pada sidang media semasa melawat tapak pelaburan baharu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga merangkap Timbalan Ketua Menteri menjelaskan tempoh masa yang diberikan semasa hari penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi pada Isnin yang lalu.
Tambahnya, sekiranya tiada penarikan diri sepanjang tempoh yang diberikan, nama calon akan dicatatkan pada kertas undi.
“Namun, beliau secara terbuka menyatakan akan menarik diri, walaupun namanya sudah tersenarai untuk bertanding pasa PRN-12.
“Jika dia benar-benar mahu menarik balik pencalonannya, Ali sepatutnya membuat keputusan itu pada tempoh tersebut,” katanya.
Tindakan Ali mempertahankan kerusinya sebagai calon bebas mencetuskan kekecohan apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan Bersatu tidak akan bertanding pada PRN-12 demi memberi laluan kepada GPS.