BINTULU : Datuk Pengiran Daud Pengiran Putera menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Talib Zulpilip, sambil mengakui beliau seorang pemimpin yang berdedikasi dan tidak ternilai.
Beliau menyifatkan pemergian ADUN Jepak itu sebagai satu kehilangan besar buat Sarawak terutama penduduk di DUN tersebut.
Menurutnya, Allahyarham Talib adalah seorang pemimpin yang memahami cita rasa rakyat, tegas dalam menegakkan perjuangan dan menjunjung amanah untuk rakyat, di samping berintegriti tinggi dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.
“Hidup kesederhanaan penuh berkhemah. Menegak kebenaran walaupun dicaci dan dihina.
“Beliau lebih daripada seorang pemimpin. Beliau telah meletak satu piawaian yang amat tinggi dalam menerajui kepimpinan. Tidak bersekongkol dalam amalan rasuah,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambah Daud lagi, sepanjang bersama-sama arwah, beliau dapat merasai nikmat menyantuni masyarakat.
“Tiada terasa minta disanjung, hanya cukup satu kepuasan dalam bersama-sama mengimarahkan kesejahteraan dan pembangunan ummah.
“Hilangnya sebutir lagi permata Sarawak, kehilangan yang sukar dicari ganti, kita doakan rohnya berada di taman- taman syurga,”katanya lagi.