Alves, Dias azimat Kuching FA

GANDINGAN penyerang dari Brazil, Leaonardo Alves dan Hudson Dias akan menjadi taruhan Kuching FA sebaik Liga Premier 2020 disingkap pada 29 Februari ini.

Kedua-duanya telah menunjukkan kombinasi mantap ketika aksi persahabatan pramusim di Semanjung Malaysia.
Kuching FA kalah 3-2 kepada skuad Liga Super, UiTM FC , namun menang 2-0 ke atas pasukan kelab Thailand Selangor.

Penolong pengurus Kuching FA, Iswandi Ali Hassan menjelaskan, Alves dan Dias telah menunjukkan persefahaman yang jitu dengan Joseph Kallang Tie.

Malah penolong jurulatih, Ideris Untong juga berpendapat bahawa pemain import asing telah membentuk gandingan baik dengan pemain tempatan.

Dengan asas pasukan yang kukuh hasil kombinasi pemain musim lalu seperti Joseph Kallang Tie, Yuta Suzuki, Hairol Mokhtar, Rafiezan Razali, Hafis Saperi, Dzulazlan Ibrahim dan Mazwandi Zekeria, Kuching FA kelihatan semakin kuat dengan kehadiran Alves dan Dias.

Masalah penyudah tumpul yang dialami sepanjang musim lalu bakal diatasi dengan adanya pemain seperti Alves dan Dias.

Dengan tubuh sasa dan ketinggian, kedua-dua pemain ini bakal menjadi aset penting Kuching FA dalam mengibar cabaran Liga Premier 2020.

Malah ada pemerhati yang meramalkan Kuching FA sebagai antara calon yang berpotensi untuk juara.

Bagaimanapun, bagi pihak pengurusan, berada dalam kelompok lima teratas sudah memadai.

Kuching FA akan memulakan saingan dengan menentang UKM FC dalam aksi pertama di Stadium Sarawak pada 29 Februari ini.

Manakala Sarawak United FC akan menentang Pulau Pinang di gelanggang lawan pada 1 Mac.

Suara Sarawak