SEBUYAU: Penduduk Kampung Sampat, Sebangan khususnya pelajar sekolah kini dapat menikmati kemudahan untuk mengakses bahan bacaan yang disediakan di Perpustakaan Mini kampung tersebut.
Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan perpustakaan tersebut merupakan salah satu daripada Projek Transformasi Luar Bandar di kawasannya.
“Perpustakaan itu juga dibina dengan kos RM250,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Mini Kampung Sampat Sebangan, di sini semalam. Tambahnya, ia dibina di Kampung Sampat kerana lokasinya sesuai berada di kampung dan dapat digunakan oleh anak-anak darjah satu hingga enam serta pelajar sekolah menengah.
“Sekiranya lokasi jauh, agak sukar untuk mereka berkunjung ke perpustakaan. “Saya juga mencadangkan agar perpustakaan ini bukan ha-nya digunakan oleh anak-anak yang tinggal di Kampung Sampat tetapi juga anak-anak dari kawasan sekitarnya,” ujar Julaihi.
Beliau memberitahu, pembinaan perpustakaan itu juga kerana mereka mahu anak-anak di kawasan luar bandar mendapat akses kepada bahan bacaan. “Yang penting koleksi buku yang disediakan bersifat menyeluruh sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu.
“Kita juga mengambil kira keperluan anak-anak di sekolah rendah kerana mereka adalah generasi muda yang perlu kita didik di peringkat awal. “Selain itu, kita juga perlu mendedahkan anak-anak ini kepada bahan bacaan yang diperlukan supaya mereka dapat menambah pengetahuan,” jelasnya.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu juga berkata, selain perpustakaan di sekolah, penduduk di kawasan tersebut mempunyai perpustakaan di Pekan Sebangan dan Simunjan di bawah seliaan Majlis Daerah Simunjan.
“Bagaimanapun, untuk peringkat kampung Perpustakaan Mini Kampung Sampat Sebangan ini merupakan perpustakaan pertama yang kita dibina,” katanya lagi. Menurut Julaihi, Kelab Rotary Kuching bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain telah membantu dalam pengisian perpustakaan tersebut menerusi sumbangan buku dan komputer terpakai.
“Sehubungan itu, saya juga berharap Kelab Rotary Kuching membantu memberikan buku secara berterusan supaya kita dapat memiliki koleksi buku secara menyeluruh,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Rotary Kuching Mona Abdul Manap berkata, terdapat 500 jenis buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk kanak- kanak dan dewasa disediakan di perpustakaan mini tersebut.
“Selain itu, Perpustakaan Mini Kampung Sampat ini juga dilengkapi dengan dua komputer yang disumbangkan oleh Universiti Teknologi Swinburne,” ujarnya.