ARTIKEL

Fadillah Yusof

Amalan melantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak sedang diteliti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menginstitusikan amalan berhubung pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang menjadi antara tuntutan asas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedang diteliti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia membabitkan perihal mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi pelantikan itu sebelum senarai cadangan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, ia kini dibincangkan dalam platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.

“Ia selaras Perkara 122AB yang memperuntukkan kuasa melantik Pesuruhjaya Kehakiman tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

“Proses pelantikan yang diamalkan pada masa ini merangkumi rujukan dan persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri sebelum pelantikan dilaksanakan.

“Justeru, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menginstitusikan amalan tersebut sedang dalam perbincangan dan penelitian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Dewan Rakyat, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan terus komited memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

Tegasnya lagi, perkara tuntutan asas MA63 ini akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dan MTPMA sehingga penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak terlibat dicapai.

Mengenai status kemajuan terkini bagi perbincangan tuntutan asas MA63, sebanyak 10 perkara telah selesai sepenuhnya.

“Untuk Sarawak, ia membabitkan penyerahan kuasa kawal selia LPG, pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, dan pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam.

“Selain pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182), pindaan Akta LHDN 1995 bagi melantik wakil (Sabah dan Sarawak) sebagai Anggota Tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan (di Sabah dan Sarawak),” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, kajian semula pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D (RM300 juta) telah selesai sebahagian atau interim.

Sementara itu, tiga perkara mempunyai keputusan dasar iaitu pemberian kuasa mengenai alam sekitar, tenaga buruh dan kuasa Mengenai Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU