KUCHING: Kementerian dan agensi di Sarawak digesa terus berusaha untuk menempatkan Amalan Pengawalseliaan Baik (GRP) sebagai agenda penting dalam mendorong produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, beliau percaya pembangunan dan pelaksanaan GRP dapat diperhebatkan dengan memperkukuhkan usaha dan kerjasama di antara kementerian, jabatan dan agensi di negeri.
“Setakat ini, Sarawak telah melaksanakan 11 projek percontohan di bawah inisiatif GRP dengan enam projek telah menjalankan Analisis Impak Peraturan (RIA) dalam proses membuat peraturan, perundingan dan penglibatan awam.
“Sarawak adalah negeri terulung di Malaysia yang menerima cabaran untuk melaksanakan GRP dan RIA serta berjaya mengeluarkan pekeliling mengenai Pembangunan Dasar dan Peraturan Pelaksanaan Negeri (SPDIR) pada 16 Mei 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Seminar GRP Sarawak secara maya melalui Zoom anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, hari ini.
Ujarnya, GRP bertujuan untuk mempromosikan proses pengawalseliaan yang berkesan, cekap dan bertanggungjawab dalam mencapai kesesuaian peraturan dan dasar yang lebih baik di seluruh kementerian dan agensi.
“MPC telah membantu kementerian dan agensi di negara mencapai potensi penjimatan kos pematuhan sekitar RM8.05 juta di bawah inisiatif ini untuk tempoh Januari hingga Oktober 2020, manakala sebanyak RM8.07 bilion dari tahun 2014 hingga 2019.
“Penjimatan ini dijangka akan terus meningkat pada akhir tahun, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti perniagaan,” tambahnya.