Trending

Ambil berat masalah kampung

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SARIKEI: Semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), perlu lebih bertanggungjawab, proaktif dan mengambil berat permasalahan serta kebajikan kampung. Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Abdullah Saidol berkata, sebagai pemimpin contoh di peringkat akar umbi, pengerusi JKKK mesti mengurus jawatankuasa itu dengan cekap dan telus.

Katanya, KMKK dan Pengerusi JKKK jangan suka membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang dengan Exco JKKK yang dipilih terutama melibatkan kepentingan masyarakat kampung masing-masing.

“JKKK mesti sering bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk berbincang dan mengemas kini status pembangunan atau permasalahan kampung. “Malah rekod mesyuarat mesti kemas. Minit mesyuarat mesti lengkap termasuk merekodkan keputusan dan tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Kepimpinan Pemimpin Masyarakat dan Dialog Pembangunan di Dewan Masyarakat Kampung Semop baru-baru ini.

Abdullah menegaskan, rekod kewangan JKKK juga mesti diurus dengan kemas, lengkap dan telus oleh bendahari sebagai individu yang bertanggungjawab dalam bidang itu.

Beliau juga mahu Pejabat Daerah mengeluarkan arahan kepada semua JKKK untuk mengaudit rekod kewangan sebelum diserahkan kepada agensi terbabit bagi tujuan pengesahan. Dalam aspek berkaitan katanya, jawatankuasa masjid, surau serta PIBG juga perlu diurus dengan baik.

“Saya ingin menegaskan bahawa permohonan bantuan kewangan sukar dilayan jika JKKK, jawatankuasa masjid dan PIBG tidak mengurus peruntukan atau kewangan mereka dengan baik. “Pada masa yang sama, hubungan kerja antara semua entiti seperti KMKK, PIBG dan jawatankuasa masjid dengan pusat khidmat tidak sukar kerana selama ini banyak permohonan daripada mereka hanya disalur melalui pesanan telefon bimbit atau diserah kepada Penyelaras Pusat Khidmat yang sering mengunjungi setiap kampung.

“Jika JKKK cepat membuat aduan sama ada melalui pesanan di telefon bimbit, maka tidak ada keperluan untuk kita membuka pusat khidmat di setiap kampung. “Ini terbukti apabila banyak aduan atau permohonan segera yang dilaporkan melalui panggilan atau pesanan telefon dilayan segera oleh Pusat Khidmat Adun atau ahli Parlimen,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Semop berkata, JKKK mesti melantik seorang setiausaha atau pembantu perhubungan awam yang cekap dalam melaporkan dengan segera sebarang isu di kampung kepada pusat khidmat wakil rakyat atau terus menghubungi agensi yang berkaitan.

Katanya, kesejahteraan sesebuah kampung akan terbentuk jika masyarakat bersatu dan tidak berpuak-puak. Ujarnya, memang wujud golongan yang hanya suka mengkritik tetapi tidak pernah terlibat dengan aktiviti gotong-royong kampung.

“Jika ada kritikan atau teguran yang membina, kita harus terima dengan hati terbuka, tetapi kalau bernada sumbang atau tidak berasas, kita abaikan.

“Peranan dan kedudukan JKKK akan lebih penting apabila mereka bijak mengurus, melaksana dan memantau secara gotong-royong projek kecil di kampung masingmasing,” tambahnya lagi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru