Ambil teladan kisah si Tanggang

SUATU ketika dahulu kecoh negara dengan kes anak yang meninggalkan ibu dengan beg pakaian di tepi jalan raya di ibu kota. Kisah ini mendapat perhatian dan warganet menggelarnya sebagai si tanggang moden.

Oleh: Rohana Wahed

Siapa yang tidak tahu kisah tanggang iaitu anak derhaka yang akhirnya menjadi batu selepas disumpah ibunya. Ingatlah,tiada apa yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya di dunia. Masa kita kecil ibulah manusia yang paling kental jiwanya.

Sanggup bersengkang mata ketika anak demam, sanggup tidak makan asal anak kenyang. Masih terpahat kukuh dalam ingatan kami yang tinggal di ceruk kampung bahawa ibu menadah air hujan untuk dimasak dan jadi minuman. Ibu tidak pernah mengeluh walaupun kesejukan dan selepas itu, mukanya panas terkena bahang dapur kayu.

Malah dalam demamnya, ibu tetap angkat dan perlahan-lahan menyediakan pinggan seorang satu, meletak sama rata nasi dan lauk di dalamnya. Ibu mahu memastikan kami adik-beradik kenyang sebaik pulang sekolah. Jika ada antara kami yang demam panas, sepanjang malam ibu berjaga bagi memastikan tuala basah di letak di dahi tidak kering.

Dan, ayah pula memain peranan seolah-olah kapten yang mengemudikan sebuah kapal penuh muatan. Walaupun cuma kerja kampung, ayah mencukupkan perbelanjaan kami. Malah ketika itu, tiada istilah tidak makan walaupun hanya satu lauk. Bak kata orang tua-tua, mungkin keberkatan itu ada walaupun pendapatan sikit tapi tetap cukup.

Dan, kedua-duanya masih sama walaupun anak-anak semua sudah bekerja dan berumah tangga. Tetap risaukan sakit anak, tetap prihatin dengan perut anak. Tetapi sebagai anak, mampukah kita membalas budi mereka? Tidak mampu terbalas walaupun kita ada wang berjuta-juta.

Ini kerana masih ramai si tanggang moden yang muncul sekarang ini, hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di bandar, sehinggakan ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dikunjungi. Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak terutama apabila mereka tidak berupaya lagi menyara hidup sendiri.

Bahkan, tidak ada ibu bapa yang mendabik dada mendakwa merekalah ibu bapa terbaik dalam mendidik anak. Justeru, kisah legenda kederhakaan si tanggang sudah cukup menjadi teladan buat kita semua.

Ingatlah, sementara ibu bapa masih lagi ada, berbaktilah kepada mereka agar suatu hari kelak kita tidak menyesal.

Lokasi: Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis Padang Indonesia… Gambar Kredit: New Review

Suara Sarawak