Amri bakal terajui serangan SUFC I

BEKAS penyerang Malaysia, JDT dan Selangor Amri Yahyah, 39, bakal menerajui jentera serangan Sarawak United FC I (SUFC I) yang akan beraksi dalam Liga Premier 2020.

Menurut sumber, penyerang handalan itu, bersama-sama pasukan SUFC I dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak KL malam tadi.

Beliau dijangka akan ke Kuching bersama-sama rombongan pasukan selepas siri jelajah di Semenanjung Malaysia.

Pada November tahun lalu, Amri enggan melanjutkan kontrak dengan skuad Selangor kendalian B. Satianathan.

Beliau dikatakan kecewa apabila sering kali tersisih daripada kesebelasan utama skuad Merah Kuning itu walaupun berada dalam prestasi yang bagus.

Dalam portal Astro, pada penghujung November lalu, Amri menjelaskan; “Saya masih belum berniat untuk bersara… jangan risau.

“Namun ingin saya ingatkan, pasukan yang bakal saya sertai tidak mampu diatasi Selangor,” katanya.

Amri diiktiraf sebagai antara penyerang tempatan terbaik di Malaysia ketika zaman kemuncak. Malah sekarang ini beliau masih mempunyai sentuhan berbisa.

Ketika bersama-sama JDT, Amri meraih tiga trofi Liga Super, pada 2014, 2015 dan 2016 serta Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih pada 2015 dan 2016.
Ketika bersama Selangor pula beliau pernah menjulang Piala Malaysia pada 2002 dan 2005 sertai tiga Piala FA dan dua Piala Liga Super.

Selain Amri, dua lagi bekas pemain Selangor dijangka akan menyarung jersi SUFC I.

Skuad SUFC I sekarang ini dalam fasa persiapan akhir, dan djangka akan mengumuman barisan pemain pada awal Februari depan.
Skuad handalan ini dibimbing oleh Juan Carlos Magro sambil dibantu oleh Safri Amit.

PROFIL AMRI
NAMA PENUH: Amri Yahyah
POSISI: Penyerang
KETINGGIAN: 5 kaki 8.5 inci
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1981
TEMPAT LAHIR: Tanjung Karang, Selangor
PASUKAN: Selangor (2001-2013), JDT (2014-2016), Melaka United (2017), Selangor (2018-2019).
* Pernah menyertai skuad Malaysia pada 2004 hingga 2017 dengan 64 kali beraksi dan menjaringkan 13 gol. Diiktiraf sebagai antara penyerang tempatan terbaik di Malaysia.

Suara Sarawak