ARTIKEL

AMRO unjur ekonomi Asean+ tumbuh 4.3 peratus tahun ini, beri amaran inflasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) mengunjurkan rantau ini akan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus bagi 2023, susut daripada jangkaan 4.6 peratus pada Julai lepas yang didorong terutamanya oleh kelembapan suku kedua di China.

Kumpulan Asean+3 merangkumi 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau Asean serta China, Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan.

Menerusi kemas kini suku tahunan laporan Prospek Ekonomi Serantau (AREO) ASEAN+3, AMRO turut menjangkakan rantau ini tumbuh sebanyak 4.5 peratus pada 2024 susulan impak langkah sokongan dasar China dalam merealisasikan usaha melonjakkan lagi permintaan domestik.

“Walaupun terdapat cabaran-cabaran yang menyelubungi prestasi ekonomi China, kita (sebaliknya) perlu melihat perkara-perkara itu dari segi perspektif.

“Melangkaui sektor hartanah misalnya, pelaburan dalam pembuatan juga semakin meningkat manakala perbelanjaan pengguna telah kembali ke landasan tepat.

Faktor ini sepatutnya memberi kesan limpahan positif di seluruh rantau Asean+3,” kata Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Khor Hoe Ee.

Dalam pada itu, inflasi di rantau Asean+3, tidak termasuk Laos dan Myanmar, diunjur menyederhana kepada 2.6 peratus pada 2024 berbanding anggaran tahun ini sebanyak 2.9 peratus.

“Bagaimanapun, kemunculan semula isu harga makanan dan tenaga global dalam beberapa bulan ini, hanya mencetuskan kebimbangan mengenai kenaikan harga komoditi lain dengan risiko peningkatan inflasi semakin ketara.

“El Nino adalah pemacu inflasi, terutama jika ia mendorong kepada dasar perdagangan tambahan lebih ketat ke atas import pertanian penting seperti beras,” katanya.

Atas alasan itu, Khor juga mengingatkan bahawa kesan harga komoditi ke atas inflasi Asean+3 akan lebih ketara jika dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh berbanding mata wang rantau ini bagi tempoh lebih lama.

Selain itu, AMRO turut mengingatkan mengenai sebarang persepsi menyangkal risiko kemelesetan di AS dan kawasan euro, khususnya dalam persekitaran dengan kadar faedah global dijangka kekal tinggi untuk jangka panjang.

“Jika kemelesetan di kedua-dua negara itu menjadi kenyataan, pertumbuhan di rantau Asean+3 boleh merosot di bawah tiga peratus iaitu yang terendah sejak 1998 tanpa mengambil kira kelembapan akibat pandemik COVID-19 pada 2020,” katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Orchidmas sasar eksport orkid

KUCHING: Orchidmas International LLC, anak Syarikat Orchidmas Sdn Bhd yang berpangkalan di Putrajaya menyasarkan untuk mengeksport orkid Malaysia ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE),

TNB guna kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya

BERITA TERBARU

Kuarters lama JKR terbakar

SIMANGGANG: Sebuah kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak berpenghuni terbakar awal pagi tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais