BUKU bertajuk Konfesi Prebet Adam yang ditulis oleh Syahril A. Kadir yang dahulunya merupakan wartawan meja jenayah terkenal di Utusan Malaysia berjaya merungkai kisah benar Prebet Adam selepas 29 tahun lalu mencetuskan kegemparan dalam amukan berdarah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur pada 1987.
Dalam buku tersebut tentang cerita anggota tentera Prebet Adam yang secara suka rela ditemu bual dan meletakkan kepercayaan kepada penulis untuk menulis kisah dan pengakuan yang beliau pendam selama ini sebelum dijemput ilahi.
Buku ini amat menarik dibaca dan sesuai untuk semua golongan masyarakat.
Bagi yang gemar membaca novel berkisahkan jenayah, buku ini lebih menarik daripada novel yang pernah saya baca.
Menariknya buku ini membuatkan pembaca enggan terlepas setiap helaian buku untuk mengetahui setiap rungkai kisah benar Prebet Adam.
Pelbagai maklumat, rujukan dan menemu bual sumber yang sahih oleh penulis cukup melengkapi kisah sebenar Prebet Adam.
Pada awal kisah buku ini penulis menceritakan tentang Prebet Adam merupakan anak sulung daripada 12 adik-beradik, kehidupan keluarganya sangat sederhana yang selalu berpindah-randah mengikut tempat kerja keduadua orang tuanya.
Dalam kisah beliau, saya amat terkesan bagaimana beliau menyelamatkan semua adik-beradiknya semasa kejadian kebakaran di perumahan mereka hingga adik perempuannya bernama Azimah tidak sempat diselamatkan dan kemalangan itu berlaku di depan matanya sendiri.
Pada 2 Jun 1987, Adam Jaafar yang minat disiplin dan peraturan yang mengekang kebebasannya akhirnya berjaya mencapai cita-cita menjadi askar dan dihantar ke 6 Renjer, Kem Syed Putra, Tambun, Perak selepas menjalani latihan asas ketenteraan di Rejimen Wataniah.
Namun, beliau semakin tertekan dengan penderaan fi zikal dan mental yang dilakukan.
Tangannya pernah dicucuh rokok menyala, menjilat tapak selipar, minum air kasut, kepala dihantuk ke dinding bertubi-tubi.
Tertekan dengan penderaan tersebut, Adam nekad mencari ketenangan dengan melarikan diri dari kem.
Penulis menceritakan amukan Prebet Adam bermula apabila Adam gagal dalam latihan menembaknya yang sering tersasar.
Sebelum ini, Adam terkenal dengan penembak tepat dan selalu mewakili kem mereka dalam pertandingan menembak, akan tetapi pada hari itu 17 Oktober 1987, latihan menembak Adam dibatalkan membuatnya semakin tertekan.
Prebet Adam nekad membawa senjata M16, sekotak peluru dan beberapa peralatan lain lalu melarikan motosikal milik koperal menuju stesen bas dan mengambil tiket ke Kuala Lumpur.
Dalam keadaan tertekan tanpa arah tujuan Prebet Adam meninggal pesanan sebelum amukan berdarah yang berbunyi ‘bunuh untuk dibunuh’.
Dalam bab 11 buku berkenaan, penulis menceritakan secara ringkas kronologi penangkapan Prebet Adam pada 19 Oktober 1987 selepas berjaya dipujuk oleh Asisten Panglima Operasi Tentera Darat Brigedier Jeneral Datuk Abdul Ghani Abdullah.
Daripada peristiwa ini, pengajaran yang kita dapat peroleh adalah sebagai anggota tentera yang terlatih yang berdisiplin sentiasa patuh akan arahan ketua.
FITNAH TERHADAP PREBET ADAM
Belum selesai dengan jenayah yang dilakukan Prebet Adam yang mengamuk hingga menyebabkan beberapa orang awam cedera dan seorang meninggal dunia, beliau turut berdepan dengan fi tnah.
Adam dikatakan kononnya mengamuk kerana ingin membalas dendam kes adik lelakinya yang dikaitkan dengan pembesar negara.
Bukan itu sahaja, insiden amukan itu didakwa sengaja dirancang untuk mengalih masyarakat terhadap beberapa pergolakan isu politik perkauman yang hangat melanda negara ketika itu.
DIDAKWA DI MAHKAMAH KISAH DIRUNGKAI
Selepas keluar masuk mahkamah atas dua pertuduhan yang dihadapi, Adam akhirnya diperintahkan ditahan di Hospital Mental selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap keadaan mental tertuduh ketika kesalahan berlaku.
Seperti sedia maklum, awal kisah Prebet Adam ini, beliau menghadapi pelbagai trauma dalam hidupnya seperti kematian adik perempuannya di depan mata ketika rumah mereka terbakar, dibuli dengan teruk semasa di kem tentera, dan mempunyai sejarah kecederaan di kepala yang teruk.
Banyak pengajaran yang boleh pembaca pelajari daripada kisah Prebet Adam antaranya ialah kepatuhan kepada ketua, kasih sayang keluarga, kisah yang diceritakan tidak benar hingga menimbulkan fi tnah, pandangan serong masyarakat selepas Adam keluar dari penjara serta hospital bahagia dan sebagainya.
Selain itu, penglibatan Prebet Adam dalam kancah dadah memusnahkan hidupnya, apabila mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak ditahan di Penjara Pudu dan hidupnya berakhir dengan sadis.
Akhir sekali, penulis berkata ayat yang beliau ingat sehingga sekarang oleh Adam ialah: “Tuan apa yang berlaku tidak ada kena-mengena dengan mereka.
“Mereka juga kena tempias daripada perbuatan saya.
Jadi tidak perlulah saya kenalkan mereka kepada tuan, cukuplah mereka sengsara atas fi tnah ini, biarlah mereka dengan kehidupan mereka, saya tidak mahu mereka terus kena kecam.
“Apa-apa tuan ‘direct’ dengan saya.
Mereka tak perlu tahu apa-apa”.