DARO: Anak berkeperluan khas merupakan amanah yang perlu diberi perhatian, bimbingan dan peluang sewajarnya supaya mereka dapat berkembang mengikut potensi masing-masing serta mampu menjalani kehidupan lebih berdikari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, usaha mendidik golongan berkenaan bukan sahaja tertumpu pada pencapaian akademik, sebaliknya merangkumi pembentukan kemahiran, keyakinan diri, sahsiah dan keupayaan menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat.
Sehubungan dengan itu, katanya, guru pendidikan khas memainkan peranan penting dalam membimbing murid menerusi pendekatan yang bersesuaian.
“Pengorbanan serta kesungguhan guru yang mendidik anak-anak berkeperluan khas ini wajar dihargai, selain sokongan ibu bapa yang menjadi asas penting kepada perkembangan dan kejayaan mereka,” katanya ketika merasmikan Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026, di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong di sini, hari ini.
Dr Safiee berkata, penganjuran program itu mampu menjadi wadah mengetengahkan kebolehan murid melalui pelbagai aktiviti, selain memberi ruang kepada mereka membina keberanian dan keyakinan diri.
Katanya, program itu bukan sekadar memberi peluang kepada murid untuk mengambil bahagian dalam pertandingan, malah menjadi ruang untuk mereka menunjukkan bakat, kreativiti serta keistimewaan tersendiri dalam suasana yang inklusif dan positif.
“Pengalaman yang diperoleh sepanjang karnival ini mampu membentuk kemahiran sosial dan semangat kerjasama, di samping mewujudkan kenangan bermakna kepada murid, guru dan ibu bapa yang terlibat.
“Kerajaan Sarawak pula terus memberikan perhatian terhadap pembangunan pendidikan khas selaras dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan negeri bagi menyokong agenda Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Usaha itu, ujar beliau, merangkumi penambahbaikan kemudahan dan prasarana, peningkatan kompetensi serta profesionalisme guru, dan pengukuhan program yang memberi manfaat kepada murid berkeperluan khas.
“Justeru, saya menggesa semua pihak meneruskan kerjasama bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan, sebaliknya diberi peluang terbaik untuk mencorak masa depan mereka,” katanya.





