ARTIKEL

Foto BERNAMA

Anak Borneo turut meriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Anak-anak perantauan dari Sabah dan Sarawak turut berada di Dataran Putrajaya semalam untuk merasai sendiri kemeriahan dan penghayatan meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Gareth Dawum, 37, yang berasal dari Padawan, Sarawak berkata beliau sudah berada di Dataran Putrajaya seawal pukul 6 pagi bersama rakan-rakannya bagi menyaksikan acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Konsultan kanan sebuah syarikat pelaburan di ibu kota itu berkata mereka mahu mendapatkan tempat yang strategik untuk menyaksikan dengan lebih dekat perbarisan pelbagai kontinjen dan persembahan.

“Kami datang awal bahkan menggunakan pengangkutan awam yang disediakan secara percuma supaya boleh menikmati acara kemuncak.

“Kami memang teruja hendak melihat hero-hero kita seperti Frankie, Grouse, Denti dan Sam, Unit K9 bomba, berarak,” katanya, sambil menambah akan turut berada di Kuching untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Beliau berkata tanggapan segelintir pihak bahawa 31 Ogos hanyalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan tidak patut  diraikan oleh penduduk Sarawak, adalah tidak tepat. 

“Kita tinggal dalam satu negara dan sama-sama meraikan sambutan bersejarah untuk menunjukkan  semangat perpaduan yang penting dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Seorang penganalisis data yang berasal dari Sandakan, Sabah, Norhanizah Yaacob berkata sambutan Hari Kebangsaan tahun ini jatuh pada cuti sekolah dan membolehkannya beliau membawa dua anaknya untuk menyaksikan perarakan tersebut.

Norhanizah, 35, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota berkata selain dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya berusia 11 dan 12 tahun yang sanggup bangun awal, sambutan itu juga memberikan pendedahan kepada mereka mengenai erti kemerdekaan.

“Anggapan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 1957 tidak benar kerana yang penting adalah penghayatan erti kemerdekaan itu,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 dengan tema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ adalah kali kelima diadakan di Putrajaya. Putrajaya pernah menjadi tuan rumah pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU