Anak Datuk Fatimah terima anugerah antarabangsa

KUCHING: Kejayaan yang dicapai oleh Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman dalam Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) WEP Wanita Malaysia perlu dicontohi oleh generasi seterusnya, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau yang juga ibu kepada Ida meluahkan rasa gembira dan bersyukur di atas pencapaian yang diterima oleh anak perempuannya itu.

“Kesungguhan, komitmen dan disiplin yang ada pada diri beliau adalah perkara yang perlu dicontohi oleh generasi seterusnya terutama anak-anak mereka.

“Untuk berjaya dalam bidang pendidikan, ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, berdisiplin serta mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ziarah Keluarga Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di Kampung Selipar Putus di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai oleh Ida sudah pasti memerlukan pengorbanan dari segi masa, terutama sekali bersama keluarga.

“Sekiranya tiada persefahaman dan sokongan daripada pihak keluarga, kejayaan itu mungkin sukar untuk dicapai.

“Malah, saya dan suami berasa gembira kerana kini beliau sudah semakin berminat untuk menceburi aktiviti kemasyarakatan, berjumpa dengan golongan wanita khasnya wanita miskin, golongan ibu tunggal yang menceburi bidang perniagaan, menyelami kesukaran serta cabaran yang dihadapi mereka,” jelasnya.

Fatimah menambah, hasil daripada perkara itu, beliau berharap agar usaha Ida dalam kesamarataan dan keadilan jantina (gender equity) itu terus subur supaya dapat membantu wanita Sarawak memperkasakan diri mereka.

Baru-baru ini, Profesor Madya dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak itu menerima Anugerah PBB WEP Wanita Malaysia bagi Kategori Penglibatan Industri dan Komuniti.

Anugerah bagi kesaksamaan jantina dan memperkasakan wanita atau dikenali sebagai Wanita UN itu adalah inisiatif pertama untuk menghargai pengamal perniagaan bagi kesaksamaan jantina.

Penyertaan anugerah tersebut turut disertai beberapa negara seperti China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam pada November lalu serta berpeluang sebagai pemenang wilayah Asia Pasifik untuk Anugerah WEP Wilayah Asia Pasifik.

Suara Sarawak