KUCHING: Ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan enam cahaya mata membuahkan hasil apabila salah seorang anak lelakinya, Mohamad Azzimizee Din, 21, melakar kejayaan dalam pelajaran.
Azzimizee dari Kampung Gedong, Simunjan antara penerima anugerah khas Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) pada Majlis Konvokesyen IKMAS Ke-19 semalam.

Menurut graduan Diploma Dakwah Islamiyyah tersebut, dia mendedikasikan kejayaannya dalam bidang akademik sehingga meraih Anugerah Pengarah-Jeneral JAKIM (Kepimpinan) kepada ibu dan abangnya.
“Kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu yang membesarkan kami enam beradik dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui pada majlis konvokesyen tersebut semalam.
Tambah Azzimizee, meskipun dibesarkan dengan kasih sayang seorang ibu dengan keluarga sederhana, ia tidak menghalang dia berusaha mencapai keputusan terbaik sejak kematian ayahnya pada 2009 dan ketika itu dia berusia setahun.
Malah katanya, anugerah yang diterima merupakan titik semangat untuk meneruskan pendidikan terutama untuk mencapai hasratnya memperoleh ijazah sarjana muda dalam kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Kecemerlangan IKMAS Dalam Bidang Personaliti, Muhammad Izzudin Muhammad Hazman, 21, kejayaan tersebut sebagai hadiah kepada ibu bapa atas dorongan yang diberikan sepanjang tiga tahun menuntut di IKMAS.
“Saya sangat gembira kerana sebelum ini, saya belum pernah memiliki peluang untuk naik ke atas pentas menerima sebarang anugerah kecemerlangan.
“Ini adalah saat yang diimpikan bagi menunjukkan pencapaian saya kepada mereka,” katanya sambil menambah dia mencari kaedah pembelajaran yang sesuai seperti menyalin nota, belajar berkumpulan, sentiasa bertanya soalan kepada tenaga pengajar dan lain-lain sejak berada di semester pertama.
Bagi penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Akademik), Fauziah Rasid, 21, pula, gadis kecil berasal dari Samarahan itu berazam untuk meraih pencapaian lebih tinggi pada masa hadapan untuk membanggakan keluarganya.
Katanya, sepanjang enam semester menuntut di IKMAS, dia sentiasa memastikan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) tidak kurang dari 3.70 ke atas.
“Saya sentiasa berusaha memastikan PNGK setiap semester mencapai 3.80 ke atas dan cuma satu semester sahaja saya menurun sedikit ketika belajar secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19.
“Namun saya berusaha untuk menaikkan PNGK berkenaan dan Alhamdulillah berhasil atas dorongan dan doa kedua-dua orang tua,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Bagi penerima Anugerah Majlis Islam Sarawak (Ko-kurikulum), Aziah Umairah Abdul Rahman, 21, pula, sokongan daripada ibu bapa merupakan pendorong untuk berjaya.
Malah gadis dari Taman Puteri, Kuching itu turut berkongsi rahsia kejayaannya ialah belajar secara berkumpulan kerana ia membolehkan mereka bertukar idea serta pendapat dan terbukti berkesan baginya.