Anak kampung mudah dapat arak, dadah

KUCHING: Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983 termasuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa tanpa kawalan terutamanya di pasaran gelap.

Pada 20 September tahun lalu, 23 rakyat menjadi korban minuman beralkohol apabila arak yang diminum mereka dalam satu pesta disahkan beracun.

Manakala pada 2018 sebanyak 24,972 penagih dikesan di negara ini dengan 48 orang direkod sebagai penagih baharu setiap hari.

Tetapi sudah menjadi tabiat anak muda, mahu mencuba sesuatu yang baharu dan menjadikan arak serta dadah sebagai satu hiburan yang akhirnya menyebabkan ketagihan.

Suara Sarawak mendekati anak muda untuk berkongsi pendapat serta pandangan bagaimana dadah dan arak menjadi sebahagian besar masalah yang merosakkan masa depan mereka.

Bagi pelajar dari Mukah, Mac Junior, 22, penyalahgunaan dadah dan minuman keras berlaku dalam kalangan belia di luar bandar atas faktor kurangnya tempat untuk berhibur.

“Kebanyakan terpengaruh dengan ajakan kawan kerana perasaan ingin mencuba akhirnya ketagihan. AADK dan PDRM perlu meningkatkan pemantauan khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Pendapatnya disokong oleh Samuel Lembang, 21, dari Julau dan yakin kedua-dua aktiviti itu semakin berleluasa di luar bandar kerana kurangnya pemantauan pihak berkuasa.

“Di kawasan kampung tidak seperti di bandar kerana di bandar, AADK dan PDRM aktif membuat rondaan dan operasi. Dadah, arak dan rokok sangat mudah didapati di kampung-kampung terpencil kerana mendapat permintaan tinggi,” ujarnya.

“Tiada pemantauan, mudah diseludup dari bandar ke kampung kerana akses jalan yang semakin maju. Tetapi jangan bergantung kepada pihak berwajib sahaja kerana ibu bapa harus memainkan peranan dari rumah,” katanya.

Jeremy Junior, 20, pelajar dari Sri Aman berpendapat, minuman keras menjadi minuman biasa di luar bandar krana tuntutan kerja yang memerlukan tenaga.

“Orang di kampung biasanya melakukan kerja berat seperti berkebun, mengangkut buah sawit dan sebagainya. Minuman keras seperti bir sejuk diambil selepas melakukan kerja berat untuk mengurangkan rasa penat,” katanya.

“Dan, jangan terkejut kerana dadah diambil untuk menambah tenaga tubuh selepas melakukan kerja berat,” ujarnya.

Untuk membanteras isu itu katanya, pengedaran bahan tersebut harus dipantau di peringkat peruncit kerana minuman keras mudah didapati di kedai runcit di pedalaman.

“Mereka menjual arak secara terbuka dan paling menakutkan, individu bawah 21 tahun dapat membelinya tanpa kawalan,” tambahnya.

Bagi Saifuddin Lim, 22, isu ini timbul disebabkan oleh rasa ingin tahu wujud dalam naluri setiap orang muda.

“Golongan muda mempunyai rasa ingin tahu amat tinggi dan ia mendorong mereka minum minuman keras dan mengambil dadah,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan ayat seperti cubalah sementara masih muda dan you only live once menjadi alasan untuk mencuba dan akhirnya ketagihan.

“Masalah ini dapat dibanteras jika golongan muda menjaga dan mengetahui batas pergaulan, elak bergaul dengan aktiviti dapat merosakkan masa depan.

“Kita tidak dapat bergantung kepada 100 peratus pihak berkuasa dalam menangani masalah ini dan ia menuntut kerjasama komuniti,” tegasnya.

Pekerja sambilan dari Lundu, Kimberly Kiara, 20, berpendapat, belia luar bandar terjebak dalam aktiviti ini kerana pengaruh rakan sebaya.

“Golongan muda beranggapan bahawa mengambil dadah dan minum minuman keras merupakan satu perkara menarik, padahal tidak sama sekali. Oleh itu, kempen kesedaran harus diadakan dari semasa ke semasa khususnya di luar bandar,” katanya.