Anak pecah masuk rumah bapa

SIMUNJAN: Seorang bekas banduan ditangkap kerana merompak sebuah motosikal Yamaha Lagenda, seunit gergaji rantai dan tiga tong gas memasak milik bapanya.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang juga positif dadah jenis syabu ditangkap pada 18 Januari lalu, kerana disyaki memecah masuk rumah ayahnya di Gedong.

Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 60 tahun pada 15 Januari lalu, menyatakan rumahnya telah dipecah masuk oleh suspek melalui tingkap di depan rumah.

Katanya semasa kejadian, mangsa tidak berada di rumah kerana berada di Kuching atas urusan keluarga.

“Bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Simunjan telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas seorang lelaki di kawasan Balai Ringin.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku dirinya anak kandung mangsa dan memecah masuk rumah bapanya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Merbin, kesemua barang yang dianggarkan bernilai RM3,500 telah dijual oleh suspek di Pekan Gedong kepada orang perseorangan manakala motosikal disimpan di rumah neneknya di Balai Ringin.

Namun, katanya tindakan pantas polis telah berjaya menemui semua barang yang dilarikan suspek, termasuk motosikal.

Beliau menambah semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah dipenjara selama dua tahun dan enam sebatan atas kesalahan pecah amanah.

Katanya suspek direman empar hari mulai 19 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun (maksimum 14 tahun) dan denda atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 5000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak