Anak penjual pisang goreng peroleh 7A

SIMUNJAN: Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan penghalang bagi seorang pelajar luar bandar SMK Gedong Ku Nur Intan Aleeya Ku Zaidi untuk mendapat keputusan cemerlang SPM 2020 yang diumumkan semalam.

Menurut Intan, banyak cabaran perlu ditempuhi terutamanya menjalani sesi pembelajaran secara maya malah perlu bijak mengatur jadual belajar agar tidak ketinggalan serta mengikuti tuisyen dalam talian yang diadakan secara percuma setiap hujung minggu.

“Alhamdulillah, saya berasa sungguh gembira dan bersyukur kerana mendapat keputusan yang agak memuaskan,” ujar Intan ketika dihubungi. Intan memperoleh keputusan 7A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Pendidikan Seni Visual, dan Kimia. Hajimah Sidi, 43, ibu kepada Intan gembira dan bersyukur atas keputusan cemerlang yang diperoleh anaknya.

”Alhamdulilah, walaupun kami berniaga pisang goreng namun dorongan, nasihat serta sentiasa mengingatkan anak bahawa pelajaran itu sangat penting. “Apatah lagi dengan keadaan Covid-19 dan belajar dalam talian, kami takut anak tertekan dan patah semangat. Jadi dorongan kepada mereka itu penting,” ujar Hajimah.

Seorang guru persendirian, Ainur Hamizah Azman, 37 berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan SPM pelajarnya walaupun perlu belajar dalam norma baharu. “Jika dilihat keputusan calon SPM, tepat dengan janji Allah, bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan dan kemudahan,” jelas beliau.

Ainur juga berharap keputusan yang diperoleh dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus belajar. “Segala saat-saat sukar calon SPM menuntut ilmu sepanjang PKP tahun lepas, malah ada yang tidak pandai Google Meetdan capaian Internet lemah, namun dipermudahkan mendapat keputusan cemerlang,” tambah beliau.

Seorang lagi calon yang menduduki SPM 2020, Dayang Hani Athirah Abang Husairi dari SMK Petra Jaya, Kuching turut berasa lega dan bersyukur apabila mendapat keputusan walaupun belajar dalam keadaan agak mencabar dengan situasi semasa.

Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan membabitkan 83 mata pelajaran di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Penularan wabak Covid-19 menyebabkan peperiksaan SPM 2020 ditunda dan mengikut perancangan asal. Namun berikutan PKP yang bermula pada 18 Mac 2020, peperiksaan ini ditunda sebanyak tiga kali, kali pertama ditunda pada 6 hingga 23 April 2020 ke 16 November hingga 7 Disember 2020, kemudian ditunda sekali lagi ke 6 Januari hingga 9 Februari 2021.

Tarikh peperiksaan SPM 2020 dimuktamadkan berlangsung pada 22 Februari hingga 25 Mac tahum ini dan bagi calon yang disahkan positif Covid-19 atau dikuarantin, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan pada sesi kedua yang bermula pada 6 hingga 23 April 2021. @Jabatan Penerangan

Suara Sarawak