KUCHING: ‘Mahu matikah dan mahu makan parangkah’, demikian kata-kata yang dilontarkan oleh anak lelaki yang dalam keadaan mabuk kepada bapa kandungnya dalam satu kejadian di kediaman mereka di Batu Kawa, September lalu.
Tertuduh Tommy Cho, 28, dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapa kandungnya yang berusia 60 tahun.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Batu Kawa, kita-kira jam 11.30 malam, 27 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, anak pengadu yang dalam keadaan mabuk telah mengamuk dengan membaling kerusi dan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh bapanya.
Susulan itu, pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sehari selepas kejadian, tertuduh berjaya ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan di kediaman mereka.
Hasil siasatan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bunuh mangsa hingga menyebabkan ketakutan dan trauma.