KUCHING: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Lundu-Bau pada awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Rekeo Andrew Achin,40, dari Kampung Senibong.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu, kejadian dilaporkan berlaku jam 3 pagi ketika pemandu kereta terbabit, Tapah Akey,52, dari Kampung Suba Buan Baru dalam perjalanan balik dari Kampung Stunggang Ulu, Lundu ke Bau.

Katanya keadaan ketika itu gelap dan berkabus, di mana apabila tiba di satu selekoh, pemandu kereta itu melihat motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Bau tiba-tiba memasuki laluannya.

“Dia cuba mengelak tetapi gagal dan mangsa telah melanggar hadapan keretanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera.

Suara Sarawak