Anggota polis antara ditangkap edar dadah

KUCHING: Seorang anggota polis antara empat individu yang ditangkap dalam serbuan ke atas dua sindiket pengedaran dadah di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin berkata anggota polis berusia 39 tahun itu ditangkap bersama seorang suspek berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah Residents di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini sekitar jam 1 petang semalam.
Katanya hasil tangkapan ke atas kedua-dua suspek telah berjaya menemui dadah jenis Syabu seberat lebih tiga kilogram bernilai RM128,770 dan 21 paket serbuk ekstasi seberat 531 gram bernilai RM10,500.
“Semasa serbuan dilakukan, suspek (anggota polis) didapati sedang memegang satu kotak manakala suspek kedua berada di luar kaunter pendaftaran.
“Suspek kedua bertindak cuba melarikan diri ke arah sebuah kenderaan yang berada di tepi bangunan namun berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmirol menambah seorang anggota polis yang terlibat dalam serbuan itu turut cedera dilanggar oleh suspek dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Selain itu, katanya kedua-dua suspek juga didapati positif Methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Januari.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dihukum mati, akan disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.
Sementara, Jasmirol berkata dua lagi suspek ditangkap dalam serbuan berasingan di Stakan Jaya Light Industrial, Jalan Stakan sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Katanya pasukan serbuan berjaya merampas sebanyak 18 paket mengandungi 657.40 gram serbuk campuran ekstasi dianggarkan bernilai RM9,000, 8.10 gram ketamin bernilai RM1,215, 90 biji pil ekstasi bernilai RM2,700 dan 15 biji pil Erimin 5 bernilai RM225.
Selain itu, katanya sebuah pacuan empat roda, dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas termasuk wang tunai sebanyak RM899 daripada kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu.
“Kedua-dua suspek juga didapati positif Methamphetamine dan akan direman selama enam hari bermula 21 hingga 26 Januari ini,” katanya.
Jasmirol berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dihukum mati, akan disebat tidak kurang daripada 15 sebatan.