ARTIKEL

Anggota polis dipenjara dua tahun, denda RM10,000 kerana cuai sebabkan rakan sekerja maut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Gambar hiasan

SIBU: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar selepas disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada hari ini atas kecuaian menyebabkan kematian rakan sekerjanya.

Tertuduh Mohamad Nur Alif Mazlan, 27, sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pertuduhan membunuh Norhalim Tumiran, 25, antara jam 5.45 petang hingga 6.30 petang pada 6 Mei 2021 di rumah sewanya di Permai, di sini.

Hakim Datuk Christopher Chin Soo Yin ketika mempengerusikan kes itu mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, selepas pindaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Mei 2021.

Pada April 2021, tertuduh berasal dari Negeri Sembilan bersama-sama dua rakannya baharu sahaja menamatkan latihan polis dan melaporkan diri bertugas di Balai Polis Sibu Jaya.

Mereka telah menyewa sebuah rumah berkembar satu tingkat di Permai.

Kira-kira jam 5.45 petang pada hari itu, si mati singgah di rumah berkenaan untuk menjamu selera bersama.

Sementara menunggu untuk menjamu selera, si mati dan seorang lagi rakan mereka Amirulizwan Sulaiman telah memutuskan untuk bermain permainan video di ruang tamu.

Tidak lama selepas itu Amirulizwan melihat tertuduh keluar dari biliknya dengan membawa pistol.

Amirulizwan kemudian mendengar bunyi yang kuat, yang disyakinya adalah bunyi tembakan.

Dia kemudian melihat kepala si mati berdarah lalu terbaring mati.

Amirulizwan kemudian bergegas kepada tertuduh untuk bertanya kepada dia melepaskan tembakan itu.

Tertuduh menjawab, dia tidak menyedari pistol itu mengandungi peluru.

Tertuduh yang seolah-olah berada dalam keadaan histeria terus mencuci pistol tersebut di dapur.

Kemudian, Amirulizwan menyaksikan tertuduh kembali dan mengeluarkan alat permainan video itu daripada genggaman si mati.

Tertuduh kemudian meletakkan pistol yang telah dibasuh itu pada tapak tangan kanan si mati yang ketika itu terbaring tidak bergerak.

Seramai 17 saksi telah memberi keterangan semasa perbicaraan kes itu.

Tertuduh diwakili peguam bela, Ranbir Singh manakala pendakwaan kes oleh DPP Mark Kenneth Netto.

BERITA LAIN

Kerap pantau harga barang

SIBU: Impak kenaikan harga diesel di Semenanjung kemungkinan akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak. Kebimbangan ini disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit

BERITA TERBARU

Kerap pantau harga barang

SIBU: Impak kenaikan harga diesel di Semenanjung kemungkinan akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak. Kebimbangan ini disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit