Anggota Rela patah kaki dilanggar remaja rempuh SJR

PADAWAN: Seorang anggota Rela patah kaki kiri akibat dilanggar seorang remaja yang cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Batu 16, Jalan Kuching-Serian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.15 malam tadi, ketika sepasukan polis dan Rela yang bertugas cuba memberhentikan tiga lelaki bermotosikal yang cuba merempuh SJR tersebut.

“Anggota bertugas di lokasi cuba memberhentikan ketiga-tiga motosikal tersebut tetapi salah sebuah daripadanya memecut laju lalu melanggar salah seorang anggota Rela yang bertugas.

Remaja yang ditahan selepas melanggar anggota Rela ketika cuba merempuh SJR di Batu 16, Jalan Kuching-Serian.

“Akibat perlanggaran itu, anggota Rela terbabit terjatuh dan patah kaki manakala penunggang motosikal tersebut terjatuh dan mengalami luka ringan di siku dan lutut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata remaja berusia 15 tahun itu kemudian ditahan dan motosikalnya disita.

Aidil menambah suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Tapah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Manakala, katanya anggota Rela terbabit yang berusia 21 tahun sudah dirawat dah kini dalam keadaan stabil.

Suara Sarawak