Angkara kedegilan tiga peratus rakyat

MENTERI Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebenarnya tidak dapat menyembunyikan riak wajahnya, ketika memaklumkan masih ada tiga peratus rakyat negara ini yang degil, keluar berkeliaran pada waktu sepatutnya mereka berkurung di rumah.

Tiga peratus bermaksud 960,000 orang. Ia sebenarnya bukan jumlah yang sedikit. Oleh kerana kedegilan ini, maka usaha untuk memutuskan penularan Covid-19 masih sukar. Malah jumlah kawasan yang dikategorikan dalam Zon Merah dan Zon Jingga juga semakin bertambah, terutama di kawasan yang populasi penduduknya tinggi.

Berdasarkan pertimbangan ini, ramai yang menjangkakan PKP akan diteruskan, mungkin untuk fasa ketiga, dua minggu atau lebih.

Ini bermaksud, umat Islam di negara ini akan meraikan Ramadan pada tahun ini secara suram. Tanpa bazar Ramadan dan tanpa kemeriahan di masjid, menunaikan ibadah tarawih berjemaah dan bertadarus.

Juga tiada kemeriahan sambutan Aidilfitri atau kekalutan balik kampung, kerana membenarkan sambutan itu secara besar-besaran akan meningkatkan risiko jangkitan, yang sehingga semalam sebenarnya masih belum menunjukkan tanda-tanda surut.

Telah lebih sebulan jangkitan ini berada di negara ini, dan hampir sebulan pergerakan seluruh rakyat tersekat. Malangnya ia masih tidak menginsafkan ramai antara kita, hingga masih memilih untuk keluar rumah biarpun tanpa tujuan yang penting, dan melanggar perintah kerajaan.

Sesungguhnya kerajaan tidak main-main dalam hal ini. Selepas menurunkan anggota tentera untuk berkawal, semalam kerajaan tidak lagi mahu berkompromi. Kompaun RM1,000 dikeluarkan serta-merta untuk mereka yang degil ini, dan mereka diberi masa dua minggu untuk menyelesaikannya.

Malah sebelum ini pun, tidak sedikit yang terpaksa tidur di penjara setelah ditangkap kerana berada di luar kediaman. Ayuh rakyat Malaysia. Sedarlah, semakin lama kita dalam situasi terkawal dan tersekat seperti ini, maka semakin sukar kehidupan yang akan kita lalui.

Ekonomi negara statik dan tidak berkembang. Kerajaan pula terpaksa mengeluarkan biaya yang besar untuk memastikan rakyat sentiasa mempunyai makanan di atas meja.

Jangan pula ia menyebabkan kerajaan muflis, kerana jika ini berlaku, semua pihak akan menanggung sakitnya. Ramai yang akan hilang pekerjaan manakala industri dan perniagaan lumpuh. Dalam konteks Covid-19 yang melanda seluruh dunia, mana-mana negara yang berjaya pulih awal, akan dapat membangkitkan semula ekonomi negaranya.

Justeru, itu yang kita perlukan kini. Kita tidak mahu lagi ada rakyat kita yang terkorban, bahkan seboleh-bolehnya tiada lagi jangkitan baharu. Justeru menjadi peranan seluruh rakyat Malaysia untuk mengikuti arahan kerajaan untuk dua minggu yang berikut ini, jika PKP dilaksanakan.

Kita seharusnya bersyukur kerana kita diberi ruang untuk memilih makanan di pasar raya. Keadaan ini tidak dinikmati negara lain yang telah diisytihar darurat, malah ada ketua negara jiran yang telah mengeluarkan arahan tembak, jika rakyatnya terus degil.

Suara Sarawak