Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Angkara virus Shanghai merana

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

PENDUDUK Shanghai terus tertekan kerana kerajaan mereka mengenakan sekatan pergerakan penuh yang kini memasuki minggu kedua, untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Dengan mengamalkan dasar sifar virus itu, China memaksa 26 juta penduduknya di Shanghai terus berkurung bahkan tidak dapat membawa haiwan peliharaan mereka keluar bersiar-siar.

Hanya petugas kesihatan, sukarelawan dan penghantar barangan dibenarkan untuk keluar masuk ke bandar tersebut.

Menerusi perkongsian pengalaman oleh seorang warga asing menerusi TikTok, wanita itu mendedahkan pintu mereka turut dipasang alat penggera elektronik untuk mengelak mereka keluar dari rumah.

Shanghai telah menjadi pusat wabak Covid-19 paling terkesan dengan merekodkan hampir 25,000 kes jangkitan Covid-19 walaupun ketika perintah berkurung masih dilaksanakan.

Secara relatif, kesnya masih rendah berdasarkan standard global, namun masih dianggap teruk bagi negara yang hanya merekodkan dua angka kes harian sejak dua tahun lalu ketika virus itu muncul buat kali pertama di Wuhan pada 2019.

Peningkatan jangkitan terus berlaku susulan varian baharu Omicron yang mudah berjangkit turut ditemui di bandar iu.

Media antarabangsa turut melaporkan virus baharu itu diasingkan daripada pesakit Covid-19 bergejala ringan, yang berubah daripada varian Omicron BA.1.1, di sebuah bandar kira-kira 70 kilometer dari Shanghai.

Laporan itu menyatakan subjenis terbabit tidak sepadan dengan varian yang menyebabkan penularan Covid-19 di China.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa terdapat satu mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian Covid-19.

WHO dalam laporan terbaharunya berkata, varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2.

XE dikatakan mampu menjadi strain paling mudah menular bagi Covid-19 baharu namun tahap serius kesannya masih lagi dikaji.

Namun mutasi yang baru dikenal pasti ini diramal kira-kira 10 peratus lebih mudah berjangkit berbanding subvarian BA.2.

Buat masa ini, subvarian Omicron, BA.2 menular di seluruh dunia dengan menjadi varian paling mudah berjangkit di kebanyakan negara.

Varian XE ini pula mula dikesan di Britain pada 19 Januari lalu dan sejak itu, lebih 600 kes susulan virus ini dilaporkan.

Susulan peningkatan virus di Shanghai, bandar itu turut dibelenggu masalah bekalan makanan dan keperluan asas lain.

Sekatan pergerakan Shanghai juga menyebabkan kekurangan pasukan perubatan, kerana banyak yang dijangkiti dan yang lain terpaksa menjalani kuarantin kerana kontak rapat.

Saat ini banyak kedai dan pasar raya ditutup malah ribuan khidmat penghantaran juga tergendala susulan sekatan yang sangat ketat.

Menerusi video yang tular di laman sosial, kelihatan warga Shanghai berteriak memerlukan makanan kerana sudah kehabisan bekalan.

Bagaimanapun kelmarin, pemerintah Shanghai mengerahkan lebih ramai pekerja penghantaran untuk kembali bekerja bagi memastikan rantaian makanan mencukupi.

Media tempatannya melaporkan seramai 3,000 pekerja tambahan mengambil bahagian dalam pengagihan bekalan di Shanghai.

Di samping itu, Shanghai mengambil langkah agresif dalam menangani jangkitan Covid-19 apabila memisahkan ibu bapa dengan anak mereka yang dijangkiti virus itu.

Menurut Reuters, kanak-kanak perlu dihantar ke tempat ditetapkan manakala orang dewasa ke pusat kuarantin serta tidak dibenarkan menemani anak-anak mereka.

Malah dilaporkan bayi yang masih menyusu badan seawal umur tiga bulan turut dipisahkan daripada ibu bapanya.

Kesemua kanak-kanak yang disahkan positif Covid-19 ditempatkan di kemudahan kesihatan Shanghai di Jinshan dan situasi ini mengudang bantahan ibu bapa yang kemudian membuat petisyen menerusi dalam talian.

Kerajaan Shanghai bagaimanpun akhirnya membenarkan kanak-kanak ditemani, dengan syarat ibu bapa atau penjaga perlu mematuhi peraturan tertentu dan menandatangani surat yang menyatakan mereka sedar akan risiko tersebut.

Begitulah dasar Kerajaan China yang mengamalkan dasar sifar toleransi virus, bagi mengelak sistem kesihatannya daripada terlalu terbeban.

Walaupun banyak negara Barat menganggap Omicron sebagai sejenis selesema yang lebih kuat dan memilih untuk hidup dengan virus itu, Beijing masih bertegas dengan dasarnya dan melaksanakannya di semua peringkat.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru