Angkasa saran semua pertubuhan belia wujudkan koperasi

KUCHING: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyarankan agar pertubuhan belia di seluruh Malaysia mewujudkan koperasi sebagai usaha menggalakkan golongan itu terlibat dalam sektor koperasi.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah hari ini berkata saran  itu adalah sebagai menyahut cabaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030.

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Saberkas di Sarawak bagi mencari kaedah sesuai bagi menggalakkan mereka terlibat dalam koperasi,” katanya pada sidang media selepas penutupan ‘Global Youth Forum Co-operative Entrepreneurship 2020 (GYF20)’.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Nordin Salleh berkata koperasi mampu menjadi tonggak ekonomi negara pada masa hadapan kerana ia adalah penggerak rakyat.

“Sebenarnya idea koperasi ini adalah berkaitan dengan sosioekonomi, dan perkara ini sudah semakin jelas dan nampak yang mana pada tahun lepas, perolehan koperasi adalah sebanyak RM40.3 bilion,” katanya.

Angkasa adalah Badan Apeks Gerakan Koperasi Malaysia yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menyatukan dan mewakili koperasi di peringkat nasional serta antarabangsa.

Sehingga Jun 2019, Angkasa menaungi kira-kira 14,417 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 6.1 juta orang.

Forum GYF20 yang berlangsung selama lima hari bermula pada Sabtu lepas telah disertai sejumlah 250 belia dari 109 negara. – Bernama

Suara Sarawak